Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

4 April 2021

KESAN ADVERS SUSULAN IMUNISASI

 

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman Facebook rasminya memaklumkan bahawa sehingga 16 Mac 2021, seramai 346,508 orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Sepanjang program ini dijalankan, KKM sentiasa menitikberatkan keselamatan penerima vaksin. Antara langkah yang dilakukan ialah pemantauan berterusan kesan advers selepas suntikan vaksin.

 

Fahami maksud kesan advers susulan imunisasi

 

World Health Organisation (WHO) mendefinisikan kesan advers susulan imunisasi (adverse event following immunisation, AEFI) sebagai sebarang kesan advers yang berlaku selepas pemberian vaksin. Namun, kesan tersebut tidak semestinya berhubung kait dengan pengambilan vaksin. Tidak semua AEFI disebabkan oleh vaksin atau proses vaksinasi. Terdapat AEFI yang mungkin terjadi secara kebetulan dan tidak berkaitan langsung dengan vaksin.

 

AEFI merupakan sebahagian daripada tindak balas sistem imun tubuh terhadap suntikan vaksin (kesan reactogenicity). Penerima vaksin tidak perlu bimbang kerana kebiasaannya, AEFI yang berlaku adalah ringan dan sembuh dengan sendirinya selepas tempoh tertentu.

 

Antara contoh AEFI yang biasa dilaporkan termasuklah sakit, bengkak dan kemerahan pada tapak suntikan, pening, sakit otot dan sakit sendi, rasa letih, mual serta demam. Sekiranya perlu, AEFI boleh dirawat dengan ubat-ubat am seperti ubat demam dan ubat tahan sakit.

 

Tidak semua penerima vaksin akan mendapat AEFI

 

AEFI bukanlah sesuatu yang pasti berlaku setiap kali seseorang individu menerima suntikan vaksin. Oleh yang demikian, penerima vaksin atau ahli keluarga disarankan berbincang dengan ahli profesional kesihatan tentang kesesuaian menerima suntikan vaksin.

 

Perkara sama harus dilakukan oleh penerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Untuk mengurangkan risiko mendapat AEFI, penerima vaksin hendaklah memaklumkan perkara-perkara yang berikut kepada ahli profesional kesihatan sebelum menerima suntikan vaksin:

 

  1. sejarah perubatan diri dan keluarga,
  2. sejarah reaksi alahan yang teruk, termasuk alahan kepada mana-mana bahan dalam vaksin yang pernah diterima sebelum ini,
  3. menghidap penyakit autoimmune atau mengambil ubat-ubatan yang menyebabkan daya tahan badan menjadi rendah,
  4. mengalami masalah pendarahan atau sedang mengambil ubat cair darah,
  5. sedang atau baru selesai menerima rawatan kanser, transplan organ atau sel stem,
  6. pernah dijangkiti COVID-19, menerima vaksin COVID-19 yang lain (sama ada menerusi program imunisasi atau sebagai subjek dalam ujian klinikal COVID-19) atau menerima rawatan antibodi pasif bagi COVID-19.
  7. sedang hamil atau menyusukan anak.

 

Tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mengalami AEFI

 

Penerima vaksin atau ahli keluarga hendaklah mendapatkan nasihat petugas kesihatan jika mengalami sebarang AEFI. Sekiranya mengalami AEFI seperti bengkak pada kelenjar, ruam teruk di seluruh badan, sesak nafas serta bengkak pada muka, tekak dan lidah, penerima vaksin perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan

 

AEFI perlu dilaporkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA). Pelaporan AEFI sangat digalakkan bagi mengenal pasti kebarangkalian insiden AEFI yang serius dan yang jarang-jarang berlaku. Pelaporan AEFI juga dapat membantu dalam pemantauan kesan advers dan keselamatan vaksin dalam pasaran.

 

AEFI boleh dilaporkan kepada oleh penerima vaksin ataupun petugas kesihatan melalui:

 

  1. borang Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF), secara bertulis atau dalam talian di laman web NPRA (https://www.npra.gov.my).
  2. borang Report on Suspected Adverse Drug Reactions, secara bertulis ataupun dalam talian di laman web yang sama.

 

Bagi AEFI yang berlaku selepas suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin boleh melaporkan AEFI tersebut melalui:

 

  1. aplikasi MySejahtera, atau
  2. borang CONSERF, secara bertulis (dihantar ke alamat e-mel mycovid.aefi@npra.gov.my) atau secara dalam talian.

 

Dapatkan maklumat tentang AEFI daripada sumber yang sahih

 

Semua vaksin yang dipasarkan di Malaysia telah dinilai segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya. Orang awam diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat tentang AEFI sehingga menimbulkan keresahan orang ramai.

 

Maklumat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, termasuk berkaitan vaksin COVID-19 dan AEFI boleh diperoleh daripada laman web www.vaksincovid.gov.my.

 

Disediakan oleh:

 

Mohd Shahiri bin Abd Ghapar

Pegawai Farmasi UF48

Cawangan Penggunaan Ubat Berkualiti

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi

 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman