Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

29 November 2023

Penggunaan ubat-ubatan sama ada Ubat Terkawal, ubat am atau over-the-counter (OTC), suplemen kesihatan mahupun sediaan tradisional berisiko menyebabkan kesan sampingan ataupun alahan ubat. Secara statistik, sebahagian besar kesan yang tidak diingini daripada pengambilan ubat merupakan kesan sampingan. Gejala alahan ubat pula hanya merangkumi lima hingga sepuluh peratus daripada jumlah keseluruhan.

Walaupun pengguna sangat digalakkan untuk mampu membezakan kedua-dua situasi ini namun masih ramai yang masih keliru. Apakah maksud sebenar kesan sampingan dan alahan ubat serta perbezaan antara kedua-duanya?

 

Kesan sampingan

Definisi kesan sampingan

Kesan sampingan merupakan kesan yang berlaku selepas pengambilan ubat dan diketahui secara umum. Kesan ini tidak mempunyai kaitan dengan tindak balas daripada sistem imuniti, sebaliknya, terhasil daripada cara ubat berfungsi di dalam badan. Kesan sampingan biasanya akan disenaraikan pada label dan risalah maklumat ubat untuk pengguna atau patient information leaflet.

Kategori kesan sampingan

Secara umumnya, kesan sampingan terbahagi kepada enam kategori, iaitu:

  • Kesan sampingan yang diketahui

Kebanyakan ubat mempunyai kesan sampingan yang diketahui secara umum. Sebagai contoh, sesetengah ubat antihistamin generasi pertama seperti chlorpheniramine, dexchlorpheniramine dan promethazine boleh menyebabkan rasa mengantuk. Ubat aspirin pula diketahui boleh mengakibatkan gastrik.

 

  • Kesan sampingan disebabkan dos berlebihan

Kesan sampingan ini berlaku apabila seseorang mengambil ubat-ubatan melebihi dos yang ditetapkan. Tindak balas akibat dos berlebihan sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Salah satu contoh kesan sampingan akibat dos berlebihan ialah kerosakan fungsi hati yang disebabkan pengambilan ubat paracetamol melebihi dos maksimum yang ditetapkan (4 gram sehari).

 

  • Kesan sampingan yang berlaku secara tidak langsung

Contoh kesan tidak langsung adalah apabila pengguna mengambil antibiotik untuk merawat sesuatu jangkitan dan pada masa yang sama mengalami cirit-birit akibat kesan ubat antibiotik tersebut kepada bakteria baik di dalam usus.

 

  • Kesan sampingan kerana interaksi ubat-ubatan

Interaksi atau tindak balas mungkin berlaku apabila pengguna mengambil sesuatu ubat bersama-sama ubat-ubatan lain atau makanan. Sebagai contoh, ubat warfarin dan ubat tahan sakit daripada kumpulan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDS) seperti ibuprofen, diclofenac, mefenamic acid dan lain-lain boleh meningkatkan risiko pendarahan di dalam perut apabila diambil sekali. Selain itu, interaksi antara warfarin dan sayur-sayuran yang kaya dengan Vitamin K seperti bayam, brokoli dan kailan pula dapat mengurangkan kesan ubat warfarin.

 

  • Kesan sampingan yang menyebabkan sesuatu penyakit atau gejala yang dihidapi menjadi lebih teruk

Kesan sampingan jenis ini boleh diterangkan dengan situasi seseorang pesakit asma yang mengambil ubat propranolol untuk merawat perasaan berdebar-debar (tachycardia). Pengambilan ubat propranolol bolehmenyebabkan asma yang dihidapi bertambah teruk dan pesakit tersebut mengalami sesak nafas.

 

  • Kesan sampingan yang bersifat idiosinkratik

Sesetengah ubat mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan reaksi luar biasa yang tidak difahami(idiosinkratik). Sebagai contoh, antibiotik jenis quinolone seperti levofloxacin boleh memberikan kesan yang tidak diingini kepada tendon tetapi mekanisme kepada tindak balas ini masih kurang difahami.

 

Melaporkan kesan sampingan

Jika mengalami sebarang kesan sampingan ubat, pesakit sebaik-baiknya berbincang dengan doktoratau ahli farmasi. Bergantung kepada kesan sampingan yang dialami, doktor yang merawat kebiasaannya akan mengubah suai regimen dos atau menghentikan ubat yang disyaki menyebabkan kesan sampingan tersebut.

Selain itu, pesakit juga digalakkan untuk membuat laporan melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Laporan yang dibuat secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan keselamatan dalam penggunaan ubat-ubatan di Malaysia.

 

Alahan ubat

Definisi alahan ubat

Alahan ubat secara ringkasnya ditakrifkan sebagai reaksi alahan yang disebabkan oleh tindak balas hipersensitiviti terhadap ubat. Kesan ini terhasil daripada tindak balas imuniti tubuh ke atas ubat dan berupaya menyebabkan pelbagai jenis gejala alahan.

 

Gejala dan rawatan alahan ubat

Gejala alahan boleh dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu gejala yang ringan dan yang lebih serius. Contoh bagi gejala alahan ubat yang ringan termasuklah seperti ruam, kegatalan dan kemerahan pada kulit. Pitam, sesak nafas dan anafilaksis pula merupakan gejala alahan ubat yang serius.

Anafilaksis merupakan gejala alahan ubat yang paling serius dan berisiko mengancam nyawa. Reaksi ini lazimnya melibatkan beberapa organ dan antara simptom yang mungkin dialami termasuklah bengkak pada lidah atau tekak, pengsan, kesukaran bernafas, tekanan darah yang sangat rendah dan denyutan nadi yang lemah. Anafilaksis biasanya berlaku dengan cepat iaitu dalam beberapa saat atau minit selepas pengambilan ubat-ubat yang disyaki menjadi penyebabnya.

Beberapa tindakan boleh dilakukan untuk merawat gejala alahan yang dihidapi bergantung kepada tahap keseriusan gejala tersebut. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah untuk berhenti mengambil ubat-ubatan yang disyaki menyebabkan alahan. Pada masa yang sama, pesakit hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor sekiranya diperlukan.

Pemeriksaan doktor dapat mengesahkan pesakit sememangnya mengalami alahan terhadap sesuatu ubat yang diambil. Di samping itu, doktor juga dapat menentukan sama ada pesakit memerlukan rawatan yang khusus untuk mengubati gejala alahan yang dialami. Ubat antihistamin seperti chlorpheniramine dan diphenhydramine digunakan untuk meredakan komponen sistem imuniti tubuh yang aktif ketika reaksi alahan terjadi.

Bukan itu sahaja, ubat daripada kumpulan kortikosteroid pula, contohnya seperti dexamethasone dan prednisolone, sama ada dalam bentuk oral ataupun suntikan digunakan untuk merawat keradangan. Gejala alahan yang serius seperti anafilaksis memerlukan rawatan pesakit di dalam wad kerana melibatkan suntikan epinefrin, pemantauan tekanan darah yang normal dan bantuan pernafasan.

 

Kad Alahan Ubat

Sekiranya telah disahkan oleh doktor bahawa seseorang individu mengalami alahan terhadap sesuatu jenis ubat, pihak hospital dan klinik kesihatan akan memberikan Kad Alahan Ubat kepada individu tersebut. Kad Alahan Ubat mengandungi maklumat seperti nama pesakit, nama ubat yang menyebabkan alahan, kod negeri dan kod fasiliti kesihatan. Kad Alahan Ubat dapat membantu ahli profesional kesihatan seperti doktor dan ahli farmasi mengenal pasti ubat yang sesuai dan selamat diberikan tanpa menyebabkan gejala alahan kepada pesakit.

Maklumat pesakit yang mengalami alahan ubat akan direkodkan ke dalam Rekod Maklumat Pesakit yang Mengalami Alahan Ubat di setiap fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Maklumat ini seterusnya akan dihantar ke Program Perkhidmatan Farmasi bagi mewujudkan daftar pesakit yang mengalami alahan ubat.

Kad Alahan Ubat ini hendaklah dibawa dan ditunjukkan kepada ahli profesional kesihatan setiap kali pesakit menerima rawatan di mana-mana hospital, klinik mahupun farmasi untuk memaklumkan kepada anggota kesihatan mengenai alahan yang dialami. Kini, terdapat beberapa fasiliti swasta yang turut mewujudkan sistem perekodan bagi memantau pesakit yang mengalami alahan.

 

Kesimpulan 

Pesakit atau orang awam disaran agar mengambil tahu kaedah mengenal pasti kesan sampingan dan alahan ubat dengan mendapatkan bantuan daripada ahli profesional kesihatan. Di samping itu, pemahaman tentang kedua-dua keadaan ini juga dapat membantu pesakit mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya kesan sampingan atau alahan ubat berlaku.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman