Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

1 Jun 2023

Warfarin merupakan sejenis ubat antikoagulan yang digunakan untuk merawat atau mencegah pembekuan darah. Warfarin bertindak dengan menghalang fungsi vitamin K dalam proses pembekuan darah. Warfarin digunakan untuk beberapa keadaan, antaranya termasuklah penyakit atrial fibrillation (gangguan irama jantung), deep vein thrombosis (pembekuan darah dalam salur darah vena) dan valve replacement (penggantian injap jantung). 

 

Warfarin perlu diambil sekali sehari. Dos warfarin kebiasaannya ditentukan oleh doktor berdasarkan bacaan International Normalized Ratio (INR) dan keadaan klinikal pesakit. Bacaan INR ini menunjukkan tahap kepekatan darah pesakit. Jika nilai INR tidak menepati julat yang disasarkan, pesakit berisiko mengalami pendarahan atau pembekuan darah. Sasaran INR yang perlu dicapai bergantung kepada jenis penyakit dan risiko pendarahan setiap pesakit. 

 

Interaksi warfarin 

 

Interaksi ubat ialah tindak balas ubat dengan bahan lain yang diambil pada masa yang sama dan boleh menyebabkan perubahan terhadap kesan ubat yang diingini. Interaksi boleh berlaku antara ubat dengan makanan, minuman, suplemen atau ubat-ubatan lain. Warfarin merupakan salah satu ubat yang berinteraksi dengan pelbagai bahan lain. 

 

Contoh interaksi warfarin yang utama ialah interaksi dengan vitamin K, sama ada yang diambil sebagai ubat mahupun yang diperoleh daripada makanan atau minuman. Kandungan vitamin K yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan warfarin. Selain itu, terdapat beberapa ubat lain dan sediaan herba yang boleh mempengaruhi keberkesanan warfarin. Misalnya, interaksi warfarin dengan ubat antikoagulan lain (contohnya dabigatran) dan ubat antiplatelet (contohnya aspirin). Interaksi dengan ubat-ubat ini akan meningkatkan kesan warfarin dan sekiranya tidak dipantau, berisiko menyebabkan pendarahan. 

 

Bukan itu sahaja, sesetengah ubat pula mempunyai kesan pencairan darah dan jika diambil sekali dengan warfarin, risiko pendarahan turut meningkat. Tambah membimbangkan, keadaan ini boleh terjadi walaupun INR pesakit masih dalam julat yang bersesuaian. Contoh ubat-ubat ini ialah ubat tahan sakit daripada kumpulan non-steroidal antiinflammatory drugs, NSAIDs (contohnya diclofenac, ibuprofen dan naproxen) serta ubat antipsikiatri dalam kumpulan selective serotonin reuptake inhibitor, SSRI (contohnya sertraline). 

 

Antimikrobial juga boleh berinteraksi dengan warfarin. Sesetengah antibiotik boleh mempengaruhi penghasilan vitamin K dalam usus dan seterusnya mengganggu keberkesanan warfarin. Sesetengah antibiotik yang lain pula merencat metabolisme warfarin dan menyebabkan kepekatan warfarin meningkat dalam badan. 

 

Nasihat untuk pesakit

 

Sekiranya sedang mengambil warfarin, pesakit perlu mengawal pengambilan sayur-sayuran agar tidak melebihi satu hidangan setiap hari. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan vitamin K perlu dilakukan secara konsisten setiap hari untuk membantu mengawal bacaan INR.  Contoh sayur-sayuran yang kaya kandungan vitamin K ialah bayam, brokoli, kailan, salad daun, kucai dan sawi hijau. Selain itu, makanan seperti kekacang, produk soya serta hati lembu juga diketahui mempunyai vitamin K yang tinggi.

 

Pesakit juga dinasihatkan agar berbincang dengan doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sekiranya bercadang untuk mengambil sebarang ubat-ubatan, termasuklah sediaan herba dan tradisional. Pengambilan alkohol juga perlu dielakkan atau dihadkan. Bukan itu sahaja, pesakit hendaklah patuh pada rawatan dan hadir pada tarikh janji temu yang ditetapkan. Sekiranya perlu, pesakit akan diberikan kaunseling yang berkaitan oleh ahli farmasi. 

 

Pesakit dinasihatkan supaya lebih cakna akan tanda-tanda pendarahan dan pembekuan darah. Contoh tanda-tanda pendarahan ialah lebam pada badan atau pendarahan hidung secara tiba-tiba, najis berwarna hitam atau mengandungi darah dan pendarahan kecil yang tidak berhenti melebihi 10 minit. Sekiranya mengalami sesak nafas, sakit dada atau bengkak dan rasa sakit pada sebelah kaki, pesakit perlu segera menjalani pemeriksaan lanjut kerana tanda-tanda ini berkemungkinan disebabkan pembekuan darah yang tidak disedari.

 

Sekiranya terdapat tanda-tanda pendarahan atau pembekuan darah, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran dengan segera. Elakkan menunggu sehingga tarikh janji temu seterusnya walaupun gejala yang dialami tidak serius.


Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat ini, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman