Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

17 March 2019

Jangkitan Helicobacter Pylori  
 
Sakit perut sering dipandang remeh oleh kebanyakan individu. Masalah ini sering dianggap sebagai sesuatu yang biasa disebabkan oleh tekanan dan bebanan kerja ataupun salah makan. Tahukah anda, sakit perut ini mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria Helicobacter pylori?  
 
Kebanyakan bakteria akan mati dalam perut disebabkan oleh  kepekatan asid yang tinggi. Namun, Helicobacter pylori merupakan sejenis bakteria yang berupaya menahan persekitaran berasid di dalam perut. 
 
Selepas memasuki perut, Helicobacter pylori akan bergerak dan melekat pada dinding perut. Bakteria ini akan menembusi ke dalam lapisan mukus perut dan melemahkan lapisan mukus pelindung perut. Jangkitan bakteria ini harus dirawat seawal mungkin bagi mengelakkan komplikasi yang serius seperti ulser perut dan risiko kanser perut.  
 
Tanda-tanda Dan Gejala  
 
Jangkitan Helicobacter pylori biasanya tidak membawa tanda-tanda atau gejala yang spesifik. Tanda-tanda dan gejala yang mungkin dialami oleh pesakit adalah seperti ketidakselesaan dan sakit yang berulang di perut, pedih ulu hati, kerap kembung perut, sentiasa rasa kenyang, tidak mempunyai selera makan, mual atau muntah. 
 
Ujian Dan Prosedur Untuk Menentukan Jangkitan Helicobacter Pylori 
 
Sekiranya seseorang mempunyai gejala jangkitan Helicobacter pylori, maka ujian khas perlu dijalankan untuk menentukan diagnosis sebenar. Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk menentukan jangkitan Helicobacter pylori, antara yang biasa dijalankan adalah ujian nafas urea, ujian analisis najis dan prosedur endoskopi.  
 
Bolehkah Jangkitan Helicobacter Pylori Ini Dirawat? 
 
Jangkitan Helicobacter pylori boleh dirawat dengan menggunakan kombinasi beberapa jenis ubat. Ubat-ubatan yang digunakan biasanya terdiri daripada ubat antibiotik dan ubat proton pump inhibitors. Terdapat juga kombinasi rawatan yang terdiri daripada antibiotik, proton pump inhibitors dan juga bismuth. Ubat-ubatan dalam rawatan Helicobacter pylori akan dipreskripsikan kepada pesakit selepas ujian dan pemeriksaan oleh doktor bergantung kepada keadaan pesakit. 
 
Antara contoh antibiotik yang sering digunakan adalah Clarithromycin dan Amoxicillin manakala ubat proton pump inhibitors adalah seperti Pantoprazole. Ubat-ubatan ini perlu diambil atas arahan yang diberikan oleh doktor untuk suatu tempoh tertentu. Kegagalan mengikut arahan yang ditetapkan mungkin mengundang risiko kerintangan antibiotik dan jangkitan berulang.  

 Kombinasi antibiotik yang digunakan adalah bertujuan untuk memusnahkan bakteria dalam perut dengan lebih berkesan. Proton pump inhibitors pula berfungsi untuk membantu meningkatkan keberkesanan antibiotik,  membantu mengurangkan gejala dan juga menggalakkan penyembuhan. 
 
Selepas melengkapkan satu kitaran rawatan, ujian susulan perlu diadakan untuk memastikan sama ada jangkitan Helicobacter pylori telah berjaya dihapuskan. Sekiranya jangkitan bakteria tersebut masih tidak dapat dihapuskan sepenuhnya selepas kitaran rawatan, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor semula untuk mendapatkan rawatan lanjut. Doktor akan membuat pemeriksaan dan memilih rawatan yang sesuai kepada pesakit bagi satu tempoh rawatan tertentu. 
 
Cara-cara Untuk Mengelakkan Jangkitan Helicobacter Pylori 
 
Pada masa ini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan Helibacter pylori. Untuk elak daripada jangkitan Helicobacter pylori, orang awam dinasihatkan agar mengamalkan kebersihan asas termasuk membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.  
 
Selain itu, mengambil makanan yang disediakan dengan peralatan yang bersih, minum air daripada sumber yang bersih serta menggunakan peralatan makanan peribadi. Pastikan juga mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengambil diet harian yang seimbang. Habiskan ubat-ubatan dalam rawatan jangkitan Helicobacter pylori seperti diarahkan oleh doktor atau ahli farmasi bagi mengelakkan kerintangan antibiotik berlaku atau jangkitan berulang.  
 
Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call CentreNPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang. 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

HUBUNGI KAMI

PROGRAM PERKHIDMATAN FARMASI
LOT 36, JALAN UNIVERSITI, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

PUSAT PANGGILAN FARMASI KEBANGSAAN (NPCC)

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2019 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman