Pengenalan
Kayap juga dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan. Ianya sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV). Risiko-risiko utama penyakit ini adalah:
- Umur yang semakin meningkat (lebih daripada 50 tahun) di mana ketahanan sistem imun berkurangan dan
- Kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid).
Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10% hingga 30% akan menghidapi penyakit ini.
Penyebab penyakit kayap adalah pengaktifan virus varicella zoster. Virus ini mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chickenpox). Selepas cacar air sembuh, virus ini berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion). Apabila sistem imun menjadi lemah, ia menjadi aktif semula. Ia menyerang urat saraf dan manyebakan keradangan saraf tersebut.
Gejala dan Tanda
Kayap selalunya menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).
Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas di bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala. Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul. Ia lazimnya dialami oleh 80% pesakit. Ia akan berterusan untuk 3 hingga 5 hari.
Pada bahagian urat saraf yang terlibat, tanda pertama adalah tompok-tompok kemerahan yang menyakitkan. Selepas 1 hingga 2 hari, timbul gelembong-gelembong air yang kecil. Air di dalam gelembong-gelembong tersebut berwarna kekuningan. Dua hari kemudian, air tersebut akan menjadi semakin keruh dan akhirnya gelembong-gelembong tersebut akan kering. Kulit kering (crusts) tersebut akan jatuh dengan sendiri dalam masa 1 hingga 2 minggu yang berikutnya.
Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini