Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

25 Ogos 2019

Kes kematian yang disebabkan oleh penyakit demam denggi bukan lagi sesuatu perkara yang asing dalam masyarakat kita. Menurut Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 21 Mei 2019, jumlah kumulatif kes denggi bagi tahun 2019 adalah sebanyak 46,607 kes berbanding 21,257 kes bagi tempoh sama tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 119.3% manakala jumlah kumulatif kematian denggi adalah sebanyak 74 kematian berbanding 39 kematian bagi tempoh sama tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 35 kematian (89.7%).

   
Demam denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes Aegypti dan nyamuk Aedes Albopictus betina yang telah dijangkiti virus denggi. Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi, iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Ia tidak boleh merebak melalui sentuhan secara langsung dengan seorang individu yang dijangkiti ke individu yang lain.  


Gejala Dan Tanda 


Gejala dan tanda demam denggi adalah berbeza berdasarkan fasa yang sedang dialami oleh pesakit. Kebiasaannya, seseorang pesakit akan menunjukkan gejala jangkitan dalam tempoh 3 hingga 14 hari setelah dijangkiti. Pesakit biasanya akan mengalami gejala seperti:  Demam   Loya   Muntah  Ruam  Sakit tulang, otot atau sendi  Sakit kepala  
Pada fasa lebih kritikal, terdapat sesetengah pesakit yang akan mengalami keadaan pendarahan dan kerosakan organ yang boleh mendatangkan kesan mudarat. 


Rawatan 


Demam denggi perlu dikesan dan dirawat dengan segera bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mambawa maut. Pesakit yang mengalami gejala jangkitan demam denggi dinasihati untuk segera mendapat pemeriksaan dan rawatan daripada doktor di fasiliti kesihatan agar rawatan yang sesuai dapat diberikan. Pesakit biasanya akan dirawat di hospital sekiranya disyaki menghidapi demam denggi berdarah.  


Setakat ini, tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi. Rawatan bagi penyakit ini adalah lebih kepada mengurangkan tanda dan gejala yang berpunca daripada penyakit tersebut. Pesakit dinasihati untuk rehat dan minum air yang mencukupi. 


Ubat demam seperti paracetamol boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan. Namun demikian, ubat ibuprofen atau aspirin adalah tidak digalakkan memandangkan ubat tersebut boleh menyebabkan peningkatan risiko pendarahan dalam kalangan pesakit denggi.  


Terdapat dakwaan bahawa jus daun betik boleh digunakan dalam rawatan demam denggi, namun tiada bukti saintifik kukuh yang dapat menunjukkan keberkesanannya. Oleh itu, orang awam disaran untuk mendapatkan nasihat dan rawatan daripada anggota kesihatan apabila mengalami tanda-tanda demam denggi bagi mengelakkan komplikasi akibat daripada kelewatan menerima rawatan, berbanding cuba untuk merawat sendiri penyakit tersebut di rumah.  


Pencegahan 
 
Sebagai langkah pencegahan, orang awam dinasihati untuk menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik terutamanya di kawasan halaman rumah seperti pasu bunga, tayar lama, baldi air, bekas minuman haiwan peliharaan, longkang yang tersumbat dan tempat-tempat lain yang mampu menampung takungan air. Ini penting bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik yang bakal menjadi nyamuk dewasa.  
 
Orang awam digalakkan untuk memakai pakaian yang menutupi anggota tubuh atau menggunakan bahan penghalau nyamuk (repellent) pada bahagian badan yang terdedah bagi mengelakkan gigitan nyamuk semasa melakukan aktiviti di luar rumah. Selain itu, pemasangan jaring nyamuk pada tingkap juga boleh mencegah nyamuk daripada memasuki rumah. Semasa di dalam rumah, semburan aerosol atau penghalau nyamuk elektrik boleh gunakan untuk tujuan membunuh dan menghalang nyamuk. 


Kesimpulan 
 
Pengetahuan dalam pengesanan awal penyakit demam denggi adalah penting kerana komplikasi penyakit yang tidak diingini dapat dielakkan melalui rawatan yang sesuai. Rawatan bagi demam denggi tidak boleh dipandang mudah dan dilengah memandangkan kelewatan rawatan boleh mendatangkan maut. Penyakit denggi boleh dielakkan sekiranya semua anggota masyarakat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan persekitaran tempat tinggal dan tempat kerja adalah bebas daripada tempat pembiakan jentik-jentik.  
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman