Sebahagian besar rakyat Malaysia semakin menitikberatkan kesihatan diri dan keluarga. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap produk suplemen kesihatan meningkat saban hari. Tambahan pula, produk suplemen kesihatan ini bukan sahaja dijual di premis fizikal, malah, boleh juga diperoleh melalui platform dalam talian. Promosi dan iklan yang meluas juga turut mempengaruhi keinginan orang awam untuk mendapatkan dan mencuba produk suplemen kesihatan. Namun begitu, timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat apabila terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjual produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keperluan pendaftaran produk suplemen kesihatan
Di Malaysia, semua produk kesihatan yang dipasarkan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dibenarkan untuk dikilang, dijual, diedar, diimport dan dimiliki. Pendaftaran dengan PBKD melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA) ini penting untuk memastikan sesuatu produk kesihatan adalah selamat dan berkualiti sebelum dipasarkan.
Sebelum sesuatu produk kesihatan didaftarkan, NPRA akan memastikan semua produk kesihatan dinilai dan mematuhi kriteria yang ditetapkan. Antaranya termasuklah produk kesihatan tersebut dikilangkan di premis pengilangan yang mematuhi Amalan Perkilangan Baik (Good Manufacturing Practice, GMP). Pengilangan di fasiliti bertaraf GMP dapat memastikan penghasilan produk yang konsisten dari segi kandungannya, berkualiti dan selamat.
Selain itu, produk tersebut juga telah diuji dan dipastikan tidak bercampur dengan bahan-bahan terlarang dan hanya membuat tuntutan yang dibenarkan sahaja. Penggunaan bahan-bahan tertentu dalam produk akan dipastikan tidak melebihi had yang dibenarkan. Label produk juga akan dinilai agar mematuhi keperluan pelabelan yang telah ditetapkan.
Cara mengenal pasti produk suplemen kesihatan yang berdaftar
Cara utama untuk mengenal pasti produk suplemen kesihatan yang berdaftar adalah dengan menyemak dua ciri utama produk berdaftar, iaitu nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram. Kedua-dua ciri ini perlu dipamerkan pada pek pembungkusan produk.
Nombor pendaftaran merupakan nombor yang diberi kepada produk yang telah mendapat kelulusan PBKD. Nombor pendaftaran bagi sesuatu produk suplemen kesihatan bermula dengan huruf 'MAL', diikuti dengan 8 digit dan diakhiri dengan abjad ‘N’. Label keselamatan hologram pula dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan yang menentukan ketulenan sesuatu produk. Pada masa ini, label keselamatan hologram yang digunakan pada semua produk yang berdaftar dikenali sebagai label keselamatan hologram FarmatagTM. Kedua-dua nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram adalah unik bagi setiap produk yang berdaftar.
Kesan penggunaan produk suplemen kesihatan tidak berdaftar
Produk kesihatan yang tidak berdaftar boleh mengancam kesihatan pengguna jika diambil dalam jangka masa yang panjang kerana produk ini tidak diuji dari segi kualiti dan keselamatan. Misalnya, produk suplemen kesihatan tidak berdaftar sudah tentu tidak menjalani ujian logam berat seperti merkuri, plumbum, arsenik dan kadmium. Pengambilan produk yang mengandungi logam-logam berat melebihi had yang dibenarkan berisiko mengakibatkan kerosakan buah pinggang, gangguan pada sistem saraf dan perkembangan otak. Begitu juga dengan ujian had mikrobial, produk suplemen kesihatan yang tidak berdaftar tidak diuji dari segi kandungan mikroorganisma yang terkandung di dalamnya.
Sesetengah produk suplemen kesihatan yang lazimnya didakwa berasaskan bahan-bahan semula jadi dikhuatiri pula dicampur dengan bahan-bahan terlarang, contohnya Ubat Terkawal seperti dexamethasone (daripada kumpulan steroid), sildenafil (ubat perangsang seks) dan sibutramine (ubat antiobesiti). Pengambilan produk tidak berdaftar yang dicemari bahan-bahan terlarang boleh menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini, seperti kegagalan organ utama tubuh dan gangguan sistem saraf pusat.
Selain itu, produk yang mengandungi bahan yang berasal daripada makanan laut seperti minyak ikan kod dan minyak krill berisiko dicemari oleh bahan kimia dioxin. Kandungan dioxin tidak dapat ditentukan sekiranya produk tersebut tidak berdaftar dan jika melebihi had dan diambil secara berpanjangan, bahan ini berisiko untuk terkumpul di dalam badan, seterusnya membahayakan kesihatan.
Nasihat kepada orang awam
Sebelum membeli atau menggunakan produk suplemen kesihatan, orang awam digalakkan untuk menyemak status pendaftaran produk tersebut melalui laman web NPRA (www.npra.gov.my), melalui fungsi Product Search. Sebagai alternatif, orang awam boleh membuat semakan dengan menggunakan aplikasi telefon pintar NPRA Product Status yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store, Apple Apps Store atau Huawei AppGallery. Semakan boleh dilakukan dengan memasukkan salah satu daripada input carian, seperti nama produk, bahan aktif dan nombor pendaftaran.
Di samping itu, orang awam juga disaran agar menyemak ketulenan label keselamatan hologram yang terdapat pada produk. Aplikasi telefon pintar FarmaChecker boleh digunakan untuk tujuan ini. Selain itu, ketulenan pelekat keselamatan hologram FarmatagTM juga boleh diuji dengan menggunakan alat pengimbas sinar ultraviolet (UV scanner) yang terdapat di premis farmasi komuniti.
Pengguna turut dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk suplemen kesihatan yang tidak berdaftar, terutamanya yang dibeli secara dalam talian atau daripada penjual yang meragukan. Orang awam juga dialu-alukan untuk melaporkan sebarang penjualan produk suplemen kesihatan yang disyaki tidak berdaftar. Aduan boleh dikemukakan melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM (https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do). Orang awam juga boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di setiap negeri untuk membuat aduan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).