Mati pucuk atau erectile dysfunction (ED) ialah ketidakupayaan dalam memperoleh atau mengekalkan ereksi semasa aktiviti seksual. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) pada tahun 2019 menunjukkan tiga daripada 10 lelaki di negara ini mengalami ED. Satu kajian lain yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2013 pula mendapati 69.5 peratus lelaki yang mengalami masalah mati pucuk berusia 40 hingga 79 tahun.
Pelbagai punca boleh menyebabkan mati pucuk termasuklah diabetes, tabiat merokok, kecederaan pada saraf tunjang, amalan gaya hidup tidak sihat dan pengambilan ubat-ubatan tanpa arahan dan nasihat doktor atau ahli farmasi. Masalah ini boleh menyebabkan keyakinan diri individu berkurangan dan memberikan implikasi negatif terhadap emosi pesakit.
Rawatan Mati Pucuk
Terdapat lebih 55 jenis ubat-ubatan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia yang digunakan untuk rawatan ED. Pesakit dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan seawal mungkin. Sildenafil, tadalafil, dan vardenafil merupakan antara ubat-ubatan dalam rawatan mati pucuk yang tergolong dalam kumpulan ubat phosphodiesterase (PDE) inhibitors. Ubat ini meningkatkan pengaliran darah ke zakar dengan kehadiran rangsangan seksual bagi membantu lelaki mendapatkan serta mengekalkan ereksi. Doktor akan memberikan dos yang bersesuaian dengan keadaan pesakit setelah penilaian klinikal dilakukan.
Di sebalik manfaat ubat untuk rawatan mati pucuk ini, terdapat juga kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku kepada pesakit termasuklah sakit kepala, sakit dada, badan terasa panas, sukar tidur, kebas kaki dan tangan. Kesan sampingan tersebut juga boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, pendarahan hidung, ngilu ketika membuang air kecil dan ereksi yang menyakitkan. Oleh itu, penting bagi pesakit untuk mematuhi dos yang dipreskrib dan arahan pengambilan yang diberikan oleh doktor. Maklumkan kepada doktor atau ahli farmasi jika terdapat sebarang masalah berkenaan pengambilan ubat tersebut.
Produk Dicemari Racun
Walau bagaimanapun, masih ramai lagi individu yang mengalami masalah ini belum bersedia untuk mendapatkan rawatan daripada doktor dan lebih cenderung untuk menggunakan kaedah alternatif seperti produk-produk minuman, produk sapuan, suplemen tradisional dan rawatan herba yang sering diiklankan dalam talian. Pengguna mudah terperdaya dengan iklan produk peningkat tenaga batin yang menggunakan tuntutan melampau seperti mujarab, ajaib, pasti berkesan dan tiada kesan sampingan. Mereka yang tidak mempunyai sebarang masalah seksual juga terjebak dalam menggunakan produk dicampur dengan bahan terlarang ini disebabkan terpedaya dengan tuntutan menambah tenaga dan meningkatkan prestasi ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan.
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi sentiasa melakukan risikan dan serbuan terancang bagi merampas produk yang disyaki dicemar palsu dengan ubat terkawal sildenafil dan tadalafil. Produk terlarang yang dirampas ini dijual dalam bentuk gula-gula, minuman kopi pracampuran dan makanan tambahan.
Penyalahgunaan ubat terkawal tanpa pengawasan boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna kerana jumlah dos ubat yang dicampurkan tidak diketahui. Pengguna produk yang mengandungi bahan terlarang ini berisiko untuk mengalami masalah kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah secara mendadak dan mendapat serangan jantung. Oleh itu, jadilah pengguna yang bijak dengan mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan daripada sumber yang betul.
Panduan Umum Membeli Produk Berdaftar
Semua ubat-ubatan, sediaan tradisional dan suplemen perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menjamin kualiti dan keselamatan produk. Produk yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu memaparkan nombor pendaftaran dan label keselamatan hologram pada kotak pembungkusan ubat untuk rujukan pengguna.
Nombor pendaftaran dimulakan dengan MAL, diikuti dengan 8 digit dan huruf A, X,T atau N. Nombor pendaftaran ubat terkawal diakhiri dengan huruf A, ubat am diakhiri dengan huruf X, ubat tradisional diakhiri dengan huruf T dan suplemen kesihatan diakhiri dengan huruf N.
Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk boleh dilakukan melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Regulatory Pharmaceutical Agency, NPRA) npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar. Label keselamatan hologram pula boleh disemak menggunakan pengimbas FarmaTagTM yang terdapat di farmasi komuniti terpilih atau menggunakan aplikasi FarmaChecker. Elakkan pembelian ubat secara dalam talian bagi masalah kesihatan yang memerlukan penilaian oleh doktor. Gunakan ubat berdaftar, elak mudarat.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, anda boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin – Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).