Kesan Sampingan Ubat

Apakah itu kesan sampingan?      

Kesan sampingan (atau kesan advers ubat – ADR) adalah kesan ubat yang tidak diingini, dan berlaku pada dos yang biasa digunakan.

 

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda atau sesiapa di bawah jagaan anda mengalami kesan sampingan ubat?

Jika anda atau sesiapa di bawah jagaan anda disyaki mengalami kesan sampingan ubat, sila dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi dengan segera.

Sila laporkan sebarang kesan sampingan yang mengganggu anda kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), walaupun anda tidak pasti ia disebabkan oleh ubat.

 

Mengapa perlu melaporkan kesan sampingan ubat?     

Laporan anda amat berguna kepada NPRA dalam memantau ADR bagi ubat yang telah didaftarkan dan berada di pasaran Malaysia. Ini akan membantu NPRA mengesan pola ADR dan mengambil tindakan yang diperlukan, seperti menarik balik atau menghentikan produk daripada pasaran. Anda dapat menyumbang kepada kesihatan masyarakat dengan menjadi pengguna yang bertanggungjawab.

 

Bagaimana cara melapor?  

Terdapat dua (2) cara untuk melaporkan kesan sampingan ubat, iaitu:

(i)   Melalui doktor atau ahli farmasi yang dirujuk ketika mengalami kesan sampingan;

      atau   

(ii) Anda melaporkan sendiri secara terus kepada NPRA dengan menggunakan borang pelaporan kesan sampingan ubat untuk pengguna (ConSERF).

 

Cara menggunakan borang ConSERF:

Borang ini digunakan untuk melaporkan kesan sampingan terhadap sebarang ubat atau vaksin (termasuk ubat preskripsi, bukan preskripsi, produk tradisional, supplemen kesihatan, produk kosmetik, dan lain-lain).

 

Dapatkan borang ConSERF dari laman sesawang NPRA.

Klik tab ORANG AWAM > Lapor Kesan Sampingan Ubat atau Vaksin > ConSERF

 

(i)   Pelaporan terus secara atas talian (Online Reporting

(ii) Muat turun, cetak, isi dan hantar borang melalui emel (fv@npra.gov.my), pos atau faks (Borang ConSERF – pdf)

 

Sila isikan seberapa banyak maklumat yang boleh untuk memastikan laporan anda adalah berguna. Rujuk kepada ahli farmasi untuk bantuan mengisi borang ini. Sekiranya anda mencetak borang tersebut, borang yang lengkap diisi juga boleh dipulangkan kepada ahli farmasi untuk dihantar ke NPRA.

 

Sila bekalkan nombor telefon atau alamat emel yang dapat dihubungi untuk membolehkan kami memperoleh maklumat lanjut berkaitan laporan anda sekiranya perlu. Identiti anda dan maklumat yang dibekalkan akan dirahsiakan.

 

Klik pautan di bawah untuk memuat turun borang atau mendapatkan maklumat lanjut dari laman web NPRA

ConSERF Online Reporting

Borang ConSERF (pdf)

Risalah ConSERF

 

Untuk pertanyaan lanjut tentang pelaporan kesan sampingan ubat, sila hubungi:

 

Seksyen Farmakovigilans

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Lot.36, Jalan Universiti, 
46200 Petaling Jaya,
Selangor.

Tel: 03 78018464 / 8466
Fax: 03 79567151
Email: fv@npra.gov.my

Laman web: http://npra.moh.gov.my