Pengendalian Ubat-ubatan

1.    Penggunaan Yang Betul

Umumnya ubat-ubatan adalah selamat sekiranya diambil  mengikut dos, masa dan cara pengambilan yang betul. Jika tidak diambil secara betul, kesan rawatan yang diingini mungkin tidak dapat dicapai sebaliknya ia boleh menyebabkan kesan sampingan.

  • Jangan ambil ubat melebihi dos yang dipreskrib.  DUA KALI GANDA TIDAK SEMESTINYA DUA KALI KEBAIKANNYA. 
  • Sekiranya anda lupa mengambil ubat pada masa yang diarahkan, jangan gandakan dos pada masa pengambilan seterusnya. Pengandaan dos adalah merbahaya kerana ianya mungkin menyebabkan dos berlebihan.
  • Jangan ambil ubat orang lain.  Ubat yang sesuai untuk orang lain mungkin tidak  sesuai untuk anda, walaupun simptom penyakit adalah hampir sama. Oleh itu, jangan berkongsi ubat dengan ahli keluarga dan rakan-rakan anda.  Setiap pesakit perlu mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi masing-masing.  
  • Jangan mencampurkan ubat-ubatan tanpa menerima nasihat doktor / ahli farmasi. Jika anda telah mengambil dua ubat yang mengandungi kandungan yang sama, anda mungkin mendapat dos berlebihan. Sebahagian ubat boleh berinteraksi dengan ubat - ubatan lain sama ada dengan menghasilkan kesan sampingan yang tidak diingini, menghalang tindakan ubat lain atau menghentikan tindakan ubat lain. Sila pastikan anda memberitahu ahli farmasi sekiranya anda sedang mengambil ubat -ubatan lain.  Jika anda sering mengunjungi farmasi yang sama, minta ahli farmasi menyimpan rekod  perubatan anda. Ini dapat membantu dalam mengesan sebarang  masalah dalam pengubatan anda.

2. Pengubatan Kendiri

Sebelum anda merawat diri sendiri, fikirkan tentang fakta-fakta ini:

  • Kebanyakan penyakit boleh dirawat secara semulajadi
    Selsema yang ringan boleh sembuh sendiri. Kebanyakan sakit tekak boleh pulih dalam  beberapa hari, samada  dirawat atau tidak. Ia biasanya disebabkan oleh virus dimana antibiotik biasanya tidak diperlukan. 
     
  • Tidak semua simptom perlu rawatan
    Batuk boleh mengeluarkan kahak yang berlebihan. Sekiranya batuk tersebut terlalu teruk atau menggangu tidur, ubat   batuk dapat membantu. Batuk pada siang hari elok dibiarkan kerana melalui batuk inilah kahak berlebihan dapat dikeluarkan.
  • Setengah ubat boleh membahayakan 
    Sesetengah ubat-ubat boleh memburukkan masalah kesihatan anda terutama jika ianya diambil berterusan, contohnya: ubat titis hidung sepatutnya digunakan untuk memberikan kelegaan dan menghilangkan simptom sahaja.
     
  • Setengah ubat boleh menyebabkan pergantungan atau ketagihan
    Ramai pesakit terpaksa bergantung kepada ubat untuk memudahkan mereka tidur dan ubat untuk menghilangkan keresahan.

3. Apa yang anda perlu tahu tentang ubat anda?

Terdapat beberapa perkara yang perlu anda tahu bagi setiap ubat yang anda ambil.  Ianya meliputi: 

  • Apakah nama ubat ini?
  • Mengapa ubat ini diberikan kepada saya?
  • Apakah kegunaan ubat ini ?
  • Bilakah perlu saya ambil ubat ini? Apakah masa yang sesuai dan kekerapan untuk diambil?
  • Bagaimana untuk mengambil ubat ini dan kuantiti yang diperlukan ? 
  • Adakah saya mempunyai pilihan  dengan ubat ini?
  • Apakah yang perlu saya lakukan jika terlupa ambil ubat ini?
  • Adakah ubat ini mempunyai kesan sampingan?Apakah yang perlu saya lakukan,jika mendapat kesan sampingan?
  • Berapa lamakah perlu saya tunggu sebelum melaporkan tiada perubahan symptom selepas megambil ubat ini?
  • Berapa lamakah tempoh masa perlu mengambil ubat ini?
  • Adakah ubat ini akan saling bertindak dengan ubat-ubatan lain yang sedang saya ambil?
  • Apakah jenis makanan dan minuman yang perlu saya elak ketika mengambil ubat ini?
  • Bagaimanakah cara penyimpanan ubat ini?  

4. Bagaimana Cara Menyimpan Ubat Anda 

Amat penting bagi anda menyimpan ubat dengan cara yang betul. Panduan penyimpanan yang betul termasuk:

  • Jauhkan ubat dari kanak-kanak
  • Simpan ubat di tempat kering dan jauh dari panas/cahaya matahari.
  • Jangan simpan kapsul dan tablet di dalam bilik air, berhampiran sinki dapur atau tempat lain yang lembap. Kepanasan atau kelembapan boleh merosakkan ubat. Jangan letakkan kapas di dalam bekas ubat yang telah dibuka kerana ia boleh menyerap udara lembap ke dalam bekas ubat.
  • Jangan simpan ubat dalam peti sejuk kecuali diarahkan.
  • Jangan tinggalkan ubat anda di dalam kenderaan bagi jangkamasa yang lama.
  • Jangan simpan ubat yang telah tamat tarikh luput atau tidak diperlukan lagi.


5. Sewaktu Perjalanan

Bawa ubat bersama anda dan jangan simpan di dalam beg perjalanan anda. Pastikan ubat yang mencukupi dibawa semasa perjalanan untuk mengelakkan bekalan ubat terputus. Lebih baik sekiranya anda membawa bersama salinan preskripsi atau senarai rawatan anda sekiranya stok tambahan diperlukan.

6. Kesan Sampingan Ubat 

Semua ubat tidak kira moden atau tradisional mempunyai kesan sampingan. Ia merupakan kesan yang tidak dikehendaki akibat daripada pengambilan ubat.  Kebiasaannya kesan sampingan ubat adalah ringan dan tidak memudaratkan, maka anda tidak perlu membuat apa-apa. Sekiranya kesan sampingan adalah teruk, sila maklumkan kepada doktor / ahli farmasi anda untuk rawatan lanjut. Tanya doktor / ahli farmasi anda untuk maklumat berkaitan kesan sampingan ubat anda.  

7. Maklumat Tambahan

  • Adalah baik sekiranya anda mengetahui nama ubat anda. Tulis nama ubat anda dan simpan untuk kegunaan pada masa hadapan.
  • Sekiranya anda perlu mengambil ubat setiap hari, anda perlulah menokok bekalan ubat tersebut sebelum ianya habis. 
  • Sekiranya anda sukar untuk mengingati masa pengambilan ubat, sila dapatkan cadangan daripada doktor dan ahli farmasi.
  • Baca label ubat setiap kali anda mengambil ubat.  

8.  Jangan 

  • Jangan beredar dari farmasi tanpa memahami arahan sepenuhnya. 

  • Jangan berhenti mengambil ubat yang telah dipreskrib walaupun anda berasa sudah sihat. Pengambilan ubat antibiotik tidak boleh dihentikan terlalu awal kerana bakteria yang menjangkiti belum terbunuh sepenuhnya. Ini akan menyebabkan bakteria tersebut menjadi resistant / kebal terhadap antibiotik seterusnya menyebabkan penyakit berulang kembali.  
  • Jangan menghentikan pengambilan ubat sekiranya anda mengalami kesan sampingan yang ringan, anda berasa lebih baik daripada semalam ataupun kerana anda percaya ianya tidak membawa sebarang kebaikan. Sesetengah ubat memerlukan masa untuk memberi kesan.