Komplian

Komplian terhadap pengambilan ubat adalah sangat penting untuk memperolehi manfaat ubat sepenuhnya. Kefahaman yang jelas mengenai ubat akan membantu pesakit lebih komplian untuk mengambil ubat.

  1. Apa yang dimaksudkan dengan komplian?

    Komplian bermaksud kepatuhan terhadap sebarang arahan/cadangan pengambilan ubat oleh profesional penjagaan kesihatan. Arahan ini merangkumi cara pengambilan ubat yang betul, perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengubah tabiat pemakanan yang tidak sesuai serta mengamalkan aktiviti fizikal yang cergas seperti bersenam.

    Malangnya, ramai pesakit tidak mengendah kepentingan untuk mematuhi arahan yang diberi oleh ahli penjagaan kesihatan. Akibatnya, berlakunya peningkatan kematian pesakit, pertambahan kadar kemasukan pesakit ke hospital serta tempoh masa rawatan lebih panjang dari semasa ke semasa.

  2. Apakah maksud tidak komplian semasa mengambil ubat?

    Terdapat beberapa keadaan di mana cara pengambilan ubat boleh dianggap sebagai tidak komplian. Antara keadaan yang paling kerap dilakukan adalah pesakit tidak mengambil ubat dengan sengaja mahupun sebaliknya. Ini berlaku kerana pesakit terlupa akan jadual pengambilan ubat atau gagal untuk mendapatkan bekalan ubat selanjutnya. Selain itu, sikap tidak komplian turut disebabkan kesan sampingan ubat yang memudaratkan,  tidak memahami kepentingan pengambilan ubat dan tiada persetujuan atau komunikasi yang tidak berkesan antara pesakit dengan ahli penjagaan kesihatan.

    Antara sikap yang tidak bijak dalam pengambilan ubat-ubatan adalah:

  1. Meningkatkan atau mengurangkan dos dengan sengaja.

  2. Mengambil ubat bukan atas tujuan yang dibenarkan.

  3. Kesilapan dalam kekerapan mengambil ubat.

  4. Mengambil ubat dengan cara yang salah.

  5. Mengambil ubat-ubatan dipreskrib dan tidak dipreskrib tanpa nasihat dari profesional.

  6. Mengambil baki ubat atau berkongsi ubat dengan pesakit lain tanpa mengetahui diagnosis sebenar penyakit yang dihidapi.

  7. Mengambil ubat yang dipreskrib sebelumnya dan bukannya ubat yang dipreskrib berdasarkan diagnosis terkini.

Kesemua contoh yang disenaraikan boleh mengakibatkan kesan buruk dan membahayakan pengambilnya.

  1. Potensi Kesan Penyalahgunaan Ubat

    Kegagalan untuk mematuhi cara pengambilan ubat yang betul boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti :

  1. Kegagalan rawatan atau penyakit berulang.

    Sebagai contoh, penyakit berjangkit seperti Tibi mungkin berulang semula sekiranya terapi antibiotik dihentikan sebelum tempoh yang ditetapkan.

  2. Penambahan atau penukaran ubat yang tidak perlu

    Penambahan atau pertukaran ubat yang tidak perlu berlaku sekiranya pesakit tidak memberikan maklumat yang betul atau berbohong tentang penyakit yang dihidapi. Ini boleh meningkatkan risiko kegagalan rawatan dan kesan buruk yang tidak diingini disamping meningkatkan kos rawatan. Keadaan ini boleh membahayakan pesakit terutamanya pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti darah tinggi, sakit jantung, sawan atau tekanan perasaan.

  3. Kesan toksik

    Kesan toksik boleh terjadi akibat dari :

  1. Pesakit menambah atau mengurangkan bilangan atau dos ubat tanpa arahan daripada doktor.

  2. Pesakit  berhenti mengambil ubat yang berfungsi untuk mengawal kesan toksik ubat lain. Contohnya pengambilan ubat tambahan iaitu kalium bersama ubat digoxin dan frusemide oleh pengidap sakit jantung. Ketidak komplianan dalam pengambilan kalium boleh mengakibatkan paras kalium dalam badan menjadi rendah dan pesakit terdedah kepada risiko toksik ubat digoxin.

  1. Peningkatan masa rawatan, kadar kematian dan kos rawatan

    Penyalahgunaan ubat secara tidak langsung akan meningkatkan kos rawatan pengubatan seperti kos pemeriksaan oleh doktor, kos penjagaan di hospital atau institusi rawatan dan kos ujian makmal seterusnya memanjangkan tempoh rawatan yang diterima oleh pesakit. Kesilapan dalam mendiagnos penyakit turut menyumbang kepada peningkatan kos tersebut.  Contohnya pesakit yang mengambil ubat yang menyebabkan kekeliruan mungkin akan didiagnos mengidap penyakit nyanyuk seterusnya dimasukkan ke institusi untuk rawatan yang sepatutnya tidak diperlukan. Ini tentunya akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan pesakit tersebut.

  1. Cara untuk meningkatkan komplian

  1. Bekerjasama dengan doktor anda.

    Setiap pesakit tidak boleh mengharapkan rawatan yang terbaik sekiranya mereka berdiam diri atau tidak bekerjasama semasa rawatan diberikan. Ini sering dilakukan oleh pesakit golongan tua kerana mereka menganggap bahawa tanggungjawab rawatan terletak di bahu doktor. Tanggapan ini salah kerana rawatan masa kini memerlukan persefahaman dan persetujuan pesakit tentang cara rawatan yang akan diberikan.

  2. Berikan maklumat tambahan sekiranya perlu

    Maklumat tambahan yang sering diperlukan adalah :

  1. Jenis dan jumlah ubat yang telah diambil dalam tempoh enam bulan terdahulu

  2. Nama ubat yang telah dan sedang diambil untuk sebarang penyakit dihidapi.

  3. Kesan positif dan negatif ubat yang telah dan sedang diambil. Adakah masalah komplian pernah berlaku?

  4. Semua kesan alahan yang dihidapi dan rawatan ubat yang diberi.

  5. Semua jenis ubat lain yang tidak dipreskrib oleh doktor.

  1. Panduan ringkas

    Setiap pengguna perlu mengetahui panduan untuk mengelakkan salahguna ubat. Antaranya adalah :

  1. Simpan senarai nama dan dos ubat yang diambil.

  2. Semak senarai ubat tersebut dengan para doktor / ahli farmasi semasa mendapat ubat baru. Dapatkan maklumat mengenai ubat tersebut dan kesan sampingan jika ada.

  3. Rancang dan pastikan tarikh ubat perlu ditokok agar anda tidak kehabisan ubat terutama semasa ingin berjalan jauh.

  4. Semasa di dalam kereta, pastikan ubat tidak terdedah kepada panas matahari. Sila pastikan ubat dibawa bersama semasa menaiki kapal terbang.

  5. Pastikan nombor telefon pusat kecemasan seperti hospital, kedai farmasi dan tempat penting yang lain disimpan.

  6. Buang ubat lama atau yang telah luput. Jika kurang pasti, sila dapatkan nasihat daripada ahli farmasi anda.

  7. Elakkan penimbunan dan berkongsi ubat. Jangan ambil ubat yang dipreskrip oleh doktor yang tidak lagi menyediakan rawatan untuk anda - kecuali anda telah berbincang hal ini dengan doktor anda sekarang

  8. Penutup khas ubat (child-proof safety closure) bertujuan menghalang kanak-kanak daripada mudah membuka penutup ubat. Namun begitu, sekiranya anda sukar untuk membuka penutup ubat tersebut, sila berbincang dengan ahli farmasi anda.

  9. Dapatkan maklumat yang betul dari ahli farmasi sekiranya keterangan pada label susah difahami. Jika alat untuk mengambil/makan ubat tidak sesuai, dapatkan alat yang sesuai dari kedai farmasi anda.

  10. Guna carta ubat untuk merekod masa pengambilan ubat. Setiap pengambilan ubat perlu dicatat dan bawa carta anda setiap kali berjumpa dengan doktor.

  1. Pengendalian Ubat-ubatan Di Rumah.

  1. Seharusnya ubat perlu disimpan di tempat yang sejuk, kering dan tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak. Penyimpanan ubat di bilik air dan dapur tidak sesuai kerana tempat ini terlalu lembab atau panas. Bilik tidur merupakan tempat yang paling sesuai.

  2. Sesetengah ubat (ubat untuk sakit jantung) perlu disimpan di dalam peti sejuk iaitu di ruangan tepi pintu dan bukan di tempat pembekuan. Ubat yang telah beku akan hilang keberkesanannya dan perlu dibuang.

  3. Pengambilan ubat mestilah dirancang sekitar waktu makan, kegiatan siang hari, dan tidur (Weintraub, 1984). Doktor dan ahli farmasi boleh membantu pesakit dalam merancang jadual pengambilan ubat. Seringkali, regimen dengan pelbagai ubat dapat dikurangkan kepada hanya beberapa kali pengambilan setiap hari seterusnya membantu dalam meningkatkan komplian dan mewujudkan terapi ubat yang lebih selesa.

  4. Untuk pesakit yang cacat penglihatan, sila dapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

  1. Rumusan

    Setiap pesakit perlu ingat bahawa untuk mendapat manfaat rawatan terbaik, kerjasama antara pesakit dengan doktor / ahli farmasi amatlah diperlukan. Pesakit perlu tahu akan tanggungjawab mereka dan hendaklah sentiasa komplian terhadap nasihat yang diberikan.