Kenali Ubat Anda

KENALI UBAT ANDA

  1. Apakah itu ubat?

    Ubat adalah bahan kimia yang digunakan untuk rawatan, pencegahan dan diagnosis penyakit. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang boleh didapati dari klinik, kedai farmasi dan pasaraya. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, ini dapat merawat atau mengawal penyakit anda.  Sumber dari kajian-kajian yang telah dijalankan menunjukkan seramai 50% daripada pesakit tidak mengambil ubat dengan betul.

    Adalah penting untuk anda ketahui nama dan bentuk ubat yang diambil. Sesetengah ubat mungkin mempunyai bentuk yang sama tetapi nama dan kegunaan yang berlainan dan sebaliknya. Ubat boleh dipreskrib menggunakan nama dagangan atau nama generik. Sekiranya anda kurang pasti, sila dapatkan maklumat lanjut melalui doktor/ahli farmasi.

  2. Langkah-langkah sebelum ambil ubat

  1. Pemberian Maklumat

    Ahli Farmasi perlu mendapatkan maklumat lengkap supaya nasihat yang betul dapat diberi. Oleh itu, sebelum mengambil ubat, anda perlu memberitahu doktor/ahli farmasi maklumat berikut: 

  • Apakah simptom penyakit yang anda hidapi dan berapa lama sudah dialami.
  • Sekiranya anda telah berjumpa dengan pengamal perubatan
  • Semua jenis ubat dan pemakanan tambahan yang diambil termasuk ubat dengan atau tanpa preskripsi
  • Sekiranya terdapat sebarang alahan terhadap ubat, makan atau bahan-bahan lain.
  • Sekiranya merokok, minum arak atau tabiat bersenam.
  • Sebarang pemakanan khusus yang diamalkan: kurang gula, kurang garam atau pemakanan untuk mengurangkan atau meningkatkan berat badan.
  • Sekiranya hamil, merancang untuk hamil atau menyusukan bayi
  • Sejarah penyakit keluarga
  1. Baca Label Ubat

    Maklumat yang terdapat pada label ubat adalah penting. Secara amnya, label ubat akan mengandungi maklumat seperti di bawah:

  1. Nama anda 

  2. Nama dan kekuatan ubat

  3. Arahan berkaitan cara pengambilan ubat seperti:

  • kuantiti dan kekerapan ubat yang perlu diambil

  • sebelum, selepas atau bersama makanan

  • langkah berjaga-jaga seperti jangan ambil bersama alkohol

Secara amnya, ambil ubat selepas makan. Ini adalah untuk membantu supaya anda tidak lupa untuk mengambil ubat dan mengelakkan kesan ubat ke atas perut.

Sesetengah ubat, contohnya PENICILLIN perlu diambil semasa perut kosong kerana makanan boleh mengganggu penyerapan ubat. 

Sila tanya ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang keraguan. 


Arahan pada label ubat perlu dibaca dengan teliti dan dipatuhi. Contohnya adalah seperti berikut: 

  1. AMBIL SEBELUM MAKAN

    Ambil ubat satu jam sebelum makan dan BUKAN dua minit sebelum makan. Sesetengah ubat perlu diserap dengan cepat supaya dapat bertindak dengan lebih berkesan. Sekiranya terdapat makanan di dalam perut, maka kesan penyerapan ubat akan berkurangan atau hilang. Namun jika anda terlupa mengambil ubat sebelum makan anda perlu ambil dua jam selepas makan ketika perut kosong.

  2. AMBIL SELEPAS MAKAN

    Ambil ubat lima hingga sepuluh minit selepas makan untuk mengelakkan kesan ubat ke atas perut.

  3. AMBIL BERSAMA AIR

    Ambil ubat bersama segelas air kosong supaya ubat mudah ditelan sepenuhnya. Jangan  ambil ubat bersama air manis seperti kopi, teh, dan lain-lain minuman kecuali dengan atas arahan doktor / ahli farmasi. 

  4. JANGAN KUNYAH, TELAN UBAT SEPENUHNYA

    Sesetengah ubat mempunyai satu lapisan yang bertindak sebagai pelindung untuk mengelakkan ubat terlerai serta memberi kesan yang tidak diingini ke atas dinding perut. Di dalam usus, lapisan ini akan melarut dan membebaskan ubat untuk diserap dengan berkesan . Oleh itu jika dikunyah lapisan ini akan hancur dan penyerapan ubat yang berkesan tidak dapat dicapai.

  5. AMBIL SELEPAS ATAU BERSAMA MAKANAN

    Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini ke atas perut. Oleh itu ambil ubat selepas atau bersama makanan.

  6. AMBIL UBAT PADA MASA DITETAPKAN DAN SAMPAI HABIS

    Sekiranya anda ambil antibiotik untuk jangkitan, pastikan anda habis makan ubat tersebut walaupun anda sudah berasa sihat kerana bakteria masih terdapat di tempat jangkitan . Jika ubat gagal dihabiskan, bakteria tidak akan mati sepenuhnya dan jangkitan mungkin berulang.  Selain itu, kesan rintangan mungkin berlaku di mana bakteria tersebut tidak akan mati dengan antibiotik yang sama. Kesannya, antibiotik yang lain perlu digunakan bagi mengubati jangkitan tersebut.

  7. BOLEH MENYEBABKAN MENGANTUK. JIKA ADA KESANNYA, JANGAN MEMANDU KENDERAAN ATAU MENGENDALIKAN MESIN.

    Sesetengah ubat boleh menyebabkan mengantuk. Minta nasihat ahli farmasi sekiranya terdapat sebarang keraguan.

  8. JANGAN AMBIL UBAT DALAM GELAP WALAUPUN ANDA PASTI DIMANA LETAKNYA.