Hak Pengguna

PENGENALAN

Terdapat 8 keperluan asas hak pengguna yang telah dipersetujui oleh semua negara di seluruh dunia. Hak pengguna ini meliputi hak keperluan asas sehingga hak untuk mendapat gantirugi. Hak-hak asas ini penting kepada manusia sejagat.  Dalam abad ke- 20 , pertumbuhan pasaran yang pesat telah mempengaruhi kehidupan pengguna.  Pengguna mula membeli produk di pasaran mengikut harga.  Lama-kelamaan pengeluaran  produk akan dijalankan secara besar-besaran dan industri akan memberi dimensi baru terhadap kehidupan pengguna. Pernahkah anda terfikir bagaimana masyarakat bandar terlalu bergantung kepada pasaran dalam memenuhi keperluan asas mereka? Sebenarnya kebergantungan kepada pasaran serta keuntungan yang diperolehi oleh pengilang dan pengedar merupakan alasan terbaik bagi mereka untuk mengeksploitasi pengguna. Sebagai pengguna, kita seharusnya dapat mengenalpasti produk di pasaran yang tidak memenuhi kualiti piawaian seperti yang telah ditetapkan oleh agensi kawalan mutu. Dalam aspek ini, para pengguna bukan sahaja dapat menikmati nilai wang yang telah dibelanjakan, tetapi juga dapat mengelak daripada menanggung kerugian akibat daripada manipulasi pasaran ini.

Kini, hak pengguna merupakan satu kepentingan dalam kehidupan masyarakat . Malah hak pengguna semakin banyak dibincangkan dan didokumentasikan secara meluas. Masyarakat juga telah mula memprkatikkan hak-hak pengguna ini dalam kehidupan mereka. Peningkatan sumber dan pengaruh pasaran telah meningkatkan tahap kesedaran terhadap hak-hak pengguna. Hak ini telah jelas diperkatakan malah telah wujud beberapa agensi seperti kerajaan, persatuan pengguna dan organisasi sukarela yang berkerjasama dalam melindungi hak pengguna ini. Namun begitu, tanggungjawab sebagai pengguna adalah tiada sempadannya dan sukar untuk dijelaskan.