Penggunaan Ubat Secara Berkualiti

Definisi

Penggunaan ubat secara berkualiti melibatkan:

  • Pemilihan cara pengendalian secara bijak (rawatan dengan atau tanpa ubat) samada oleh pengamal rawatan kesihatan atau individu (pengguna)
  • Sekiranya ubat diperlukan (termasuk ubat preskripsi, bukan preskripsi dan ubat komplimentari), ubat yang sesuai sepatutnya dipilih.
  • Untuk memperolehi kesan yang baik, ubat perlu digunakan secara selamat dan berkesan

Objektif

Untuk menggunakan ubat dengan cara terbaik bagi meningkatkan tahap kesihatan.

Sebagai pengguna/pesakit, anda bertanggungjawab untuk:

  • Meminta dan menggunakan maklumat, sumber dan perkhidmatan.
  • Berwaspada terhadap risiko dan kebaikan ubat, pilihan bukan ubat dan cara hidup sihat.
  • Memahirkan diri dan dapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah berkaitan penggunaan ubat.
  • Waspada terhadap kegunaan atau kesan ubat terhadap kesihatan anda.
  • Maklumkan kepada doktor/ahli farmasi mengenai ubat dan keadaan kesihatan anda terkini (termasuk kehamilan, merancang kehamilan dan penyusuan)

Untuk mencapai matlamat penggunaan ubat yang berkualiti, anda harus bertanyakan soalan berikut dan mendapatkan jawapan yang memuaskan.

1) Adakah perlu saya mengambil ubat?

Ada sebab mengapa anda perlu mengambil ubat. Ubat digunakan untuk merawat atau menyembuhkan penyakit, melegakan gejala penyakit, mengurangkan kesakitan, membetulkan penyakit kekurangan zat makanan dan memberikan lain-lain kebaikan.

Lain-lain pilihan rawatan sama ada dengan atau tanpa ubat  perlulah  dibincangkan dengan doktor/ahli farmasi

2) Bagaimana saya perlu mengambil ubat?

Ikut arahan sebagaimana yang terdapat pada label ubat atau arahan secara lisan dari doktor/ahli farmasi.

3) Di mana perlu saya dapatkan ubat?
 
Anda boleh mendapatkan ubat dari hospital, klinik kesihatan dan farmasi. Jangan dapatkan ubat anda dari pihak yang tidak bertauliah.Anda perlu berjaga-jaga apabila membeli ubat dan suplemen kesihatan atas talian atau dari sumber yang bukan farmasi yang mungkin akan mendedahkan anda kepada risiko memperolehi produk yang salah, tercemar atay tiruan.

4) Apakan yang perlu saya ketahui mengenai ubat?

  • Nama ubat 
  • Bahan aktif
  • Tujuan ubat diberikan
  • Berapa banyak, berapa kerap dan berapa lama perlu diambil
  • Bagaimana ubat digunakan atau diambil
  • Kesan sampingan dan apa yang perlu dilakukan jika mengalaminya
  • Amaran dan arahan berkaitan ubat (contohnya ambil sebelum tidur atau dengan makanan dan sebagainya)
  • Tarikh luput 
  • Cara penyimpanan

5) Bagaimana menyimpan ubat?

Penyimpanan ubat yang betul amat penting untuk menjamin kualiti dan ciri-ciri terapeutik sesuatu ubat. Berikut adalah panduan untuk menyimpan ubat anda:

  • Simpan ubat ditempat yang dikhaskan di rumah anda.
  • Jangan campur ubat yang berlainan dalam bekas yang sama.
  • Sebaiknya simpan ubat di tempat yang sejuk dan kering.
  • Ubat yang disimpan dalam peti sejuk perlu diasingkan dari item lain dan dilabelkan.
  • Ubat makan perlu diasingkan dari ubat untuk kegunaan luar.
  • Ubat yang telah luput tarikh atau telah dihentikan oleh doktor sepatutnya dibuang.
  • Jangan kongsi atau berikan ubat anda kepada orang lain.
  • Pastikan ubat anda disimpan ditempat dng tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
  • Jika ubat tidak disimpan dalam bekas asalnya, pastikan ianya dilabel dengan baik, contohnya untuk siapa, nama ubat, dos, kekerapan dan tarikh luput.

6) Bolehkah saya berhenti mengambil ubat setelah merasa sihat?

Tidak, anda perlu berbincang dengan doktorb atau ahli farmasi. Komplian (kepatuhan) terhadap ubat amat penting bagi mendapat manfaat yang diharapkan. Tidak patuh akan mengakibatkan kegagalan dalam rawatan.

7) Bagaimana jika saya terlupa mengambil ubat?

Dalam keadaan tertentu, ubat perlu diambil sebaik sahaja anda teringat. Jika terlalu dekat dengan masa mengambil dos berikutnya dan anda berasa tidak pasti, dapatkan nasihat dari doktor atau ahli farmasi.Bantuan untuk mengingati sesuatu seperti bekas menyimpan pil dan menandanya pada kalendar harian boleh membantu anda mengingati masa untuk mengambil ubat.

8) Bagaimana jika saya rasa tidak selesa selepas makan ubat?

Rujuk  doktor atau ahli farmasi anda.  Anda mungkin mengalami kesan sampingan atau alahan kepada ubat berkenaan. Interaksi ubat juga boleh menyebabkan keadaan tidak selesa itu.

9) Di mana saya boleh mendapatkan maklumat lebih mengenai ubat saya?

Rujuk doktor atau ahli farmasi. Anda boleh mendapat banyak maklumat dari pelbagai laman web tetapi anda mesti menentusahkan maklumat tersebut dengan doktor atau ahli farmasi.

10) Sekiranya saya menghadapi kesukaran untuk menelan, adakah cara lain saya boleh mengambil ubat?

Maklumkan masalah kepada doktor atau ahli farmasi. Sesetengah ubat boleh didapati dalam beberapa bentuk dos (contohnya tablet kepada cecair, gel, supositori atau ubat jenis tampalan). Perbezaan antara satu bentuk dos dengan yang lain bergantung kepada tempat dimana ubat bertindak dalam badan kita, kecepatan bentuk dos bertindak, siapa yang menggunakannya (contoh : kanak-kanak mungkin memerlukan bentuk cecair atau tablet yang boleh dikunyah), berapa kerap ubat dimakan dan tahap penyakit yang dihadapi.

11)  Apakah ada kemungkinan saya memakan ubat yang sama dari klinik / hospital  yang berlainan.

Ya, ubat boleh dipreskrib sama ada dengan mencatitkan jenama ubat atau nama generik. Nama generik bermaksud bahan aktif ubat yang terkandung dalam ubat anda. Adalah penting anda mengetahui nama bahan aktif ubat serta dos yang diambil untuk mengelakkan terlebih dos atau keracunan. Jika tidak pasti dengan nama generik ubat yang ambil, anda boleh bertanya kepada doktor atau ahli farmasi.

12) Adakah selamat mengambil ubat herba dan lain-lain produk suplemen kesihatan bersama dengan ubat yang dipreskrib?

Banyak produk herba dan suplemen kesihatan berasal dari bahan semulajadi. Ramai berpendapat produk-produk sedemikian lebih selamat dari ubat yang dipreskrib lebih selamat dari ubat yang dipreskrib. Tidak banyak produk tersebut yang telah diuji kesannya bila diambil bersama-sama ubat yang dipreskrib. Oleh itu sebarang kesan sampingan atau interaksi ubat mungkin belum didokumenkan dan keselamatan kombinasi produk belum dibuktikan.
Terdapat dua mitos yang perlu penerangan.
Pertama : Apabila bahan semulajadi atau herba diproses menjadi tablet atau kapsul, status bahan sudah tidak lagi semulajadi (asli) kerana terdapat penambahan bahan-bahan seperti laktos atau kanji.
Kedua : Herba mungkin mengandungi bahan poten seperti opium, curare dan ephedrine, dan bahan-bahan ini boleh membunuh!

Dapatkan nasihat dari doktor/ahli farmasi sebelum mengambil sebarang herba atau suplemen

13) Bagaimana cara saya mengambil ubat ketika bulan puasa (Ramadhan)

Dalam sesetengah kes, dos ubat semasa dalam bulan puasa perlu di rumuskan terlebih dahulu. Pengambilan dos ubat boleh ditukar sejajar dengan keperluan anda (contoh : dos yang diambil sekali sehari lebih sesuai dari pengambilan dos tiga kali sehari kerana dos sekali sehari boleh diambil pada bila-bila masa.

Berbincanglah dengan doktor/ahli farmasi anda tentang pengambilan dos ubat anda semasa bulan Ramadhan