Dasar Ubat Nasional

DASAR UBAT NASIONAL (DUNas)

PENDAHULUAN

Dasar Ubat Nasional (DUNas), yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri Malaysia pada bulan Oktober 2006, merupakan hala tuju negara untuk memastikan pengurusan ubat-ubatan baik demi mencapai hasil kesihatan (health outcomes) yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Semakan separuh penggal dasar ini telah dilakukan pada bulan Julai 2009 dan diikuti dengan semakan penuh pada bulan Oktober 2012.

Edisi kedua DUNas ini adalah hasil dari semakan dasar selepas lima tahun pelaksanaannya. Penilaian dan semakan semula dasar asal adalah perlu untuk mengambil kira isu-isu penting dan mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan semasa dan masa depan negara.

PENGENALAN

Objektif Dasar Ubat Nasional dikekalkan iaitu untuk menggalakkan keperolehan yang sama rata dan penggunaan yang rasional ubat-ubatan penting yang berkualiti, selamat, berkesan dan mampu dimiliki bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan dasar, ia telah menunjukkan hasil dan transformasi positif seperti mewujudkan satu sistem regulatori yang komprehensif, pengukuhan undang-undang dan peraturan-peraturan, mewujudkan industri farmaseutikal yang mantap serta membangunkan rangkaian pengedaran farmaseutikal yang menyeluruh. Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dan pengukuhan yang berterusan termasuk perlu mengambil kira idea-idea baru.

Kenyataan dasar dan strategi baru yang diperkenalkan adalah penting untuk memastikan sektor farmaseutikal dan kesihatan maju ke hadapan di samping menyediakan keperluan semasa negara serta memperbaiki dan menyokong dasar-dasar kerajaan yang sedia ada selaras dengan perkembangan global semasa.

Empat komponen teras dan empat komponen sokongan dasar asal telah disusun semula. Komponen Kualiti, Keselamatan dan Keberkesanan serta Penggunaan Ubat-ubatan Secara Berkualiti dikekalkan. Komponen Ketersediaan Ubat-ubatan dan Kemampuan Mendapat Ubat-ubatan telah digabungkan menjadi satu komponen yang dinamakan Keperolehan Ubat-ubatan supaya tiada pertindihan strategi dan isu. Komponen Pembangunan Sumber Manusia, Kerjasama Penyelidikan dan Pembangunan dan Kerjasama Teknikal telah digabungkan sebagai satu komponen yang dinamakan sebagai Perkongsian dan Kerjasama dalam Industri Penjagaan Kesihatan. Satu komponen baharu mengenai tadbir urus dalam ubat-ubatan telah diperkenalkan dalam dasar yang telah disemak.

Modifikasi ini telah menghasilkan lima komponen berikut:

i.   Tadbir Urus Dalam Ubat-ubatan

ii.   Kualiti, Keselamatan dan Keberkesanan Ubat-ubatan

iii.  Keperolehan Ubat-ubatan

iv.  Penggunaan Ubat-ubatan Secara Berkualiti

v.  Perkongsian dan Kerjasama untuk Industri Penjagaan Kesihatan