Penjagaan & Pengubatan Kendiri

Pengenalan

Konsep kesihatan adalah sangat luas merangkumi kesejahteraan, pencegahan dan kesan alam sekitar. Pemberian kuasa kepada pesakit dan pengguna kesihatan; memberikan mereka pilihan, maklumat, kemahiran dan tanggungjawab yang lebih besar merupakan sebahagian daripada reformasi penjagaan kesihatan masa kini yang tidak patut diabaikan.


Penjagaan kendiri

Dalam konteks kehidupan harian, penjagaan diri sendiri didefinisikan sebagai  aktiviti-aktiviti kesihatan yang dijalankan secara tidak formal dan proses membuat keputusan berkaitan kesihatan yang merangkumi pengubatan sendiri, rawatan sendiri dan bantuan kecemasan.


Pengubatan kendiri

Pengubatan sendiri adalah satu cabang (domain) penjagaan diri sendiri. Ia bermaksud pemilihan dan penggunaan ubat-ubatan oleh individu untuk merawat penyakit-penyakit atau gejala penyakit yang dikenalpasti sendiri.


Matlamat Penjagaan Kendiri

Terdapat 3 matlamat asas yang menggalakkan kebebasan dalam penjagaan kesihatan melalui penjagaan diri sendiri:

  • Untuk memperbaiki kualiti hidup individu dengan membolehkan mereka mengekalkan kesihatan dan memaksimumkan potensi dalam kesihatan.
  • Untuk membolehkan individu menyesuaikan dengan penyakit kronik dan berurusan dengan masalah kecil (minor).
  • Untuk membantu individu mendapatkan pertolongan dan mengoptimumkan penggunaan kemudahan (fasiliti) penjagaan kesihatan.