Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

1 September 2019

“Gatal sungguh hidung saya. Asyik rasa ketat dan hendak bersin sahaja”. Adakah anda pernah mengalami keadaan ini? Sebenarnya, ramai individu pernah mengalami gejala yang sama. Dalam sesetengah kes, seseorang individu akan berasa seperti ada sesuatu di dalam rongga hidung yang menyebabkan rasa tidak selesa. Terdapat juga individu yang berasa sakit pada bahagian muka sehingga berdenyut-denyut.  
 
Secara umum, keadaan ini sering dikenali sebagai resdung dalam masyarakat. Namun, dalam bidang perubatan, gejala ini boleh terbahagi kepada dua keadaan iaitu rinitis alergi (allergic rhinitis) dan sinusitis.  
 
 

Perbezaan Antara Rinitis Alergi Dan Sinusitis  
 
Rinitis alergi merupakan keadaan keradangan atau bengkak yang disebabkan oleh alahan pada bahagian hidung akibat terdedah kepada alergen atau punca alahan. Terdapat sesetengah individu yang alah kepada debu persekitaran, manakala yang lain pula alah kepada bulu binatang.  
 
Terdapat individu yang mengalami alahan teruk disebabkan oleh tindak balas badan secara berlebihan terhadap punca alahan ataupun alergen. Keadaan ini digelar sebagai hipersensitiviti dan ia mencetuskan gejala yang berterusan termasuk sentiasa bersin, hidung berair dan tersumbat serta gatal-gatal pada bahagian hidung dan mata. 
 
Berbeza dengan rinitis alergi, sinusitis pula merupakan radangan pada bahagian sinus (rongga dalam tulang tengkorak yang bersambung dengan rongga hidung). Gejala yang dialami oleh pesakit mungkin lebih serius seperti sakit muka pada bahagian sinus, hingus pekat yang bewarna dan berbau, hidung tersumbat, kurang deria bau dan sakit kepala.   Punca yang menyebabkan sinusitis juga berbeza. Kebiasaannya, sinusitis disebabkan oleh jangkitan mikroorganisma yang menyebabkan radangan pada bahagian sinus. Sinusitis boleh jadi serangan akut, iaitu serangan jangka pendek ataupun kronik, iaitu serangan jangka panjang. 
 
 

Rawatan  
 
Ubat yang digunakan dalam rawatan rinitis alergi dan sinusitis adalah bergantung kepada durasi, punca dan gejala penyakit. Jika ia disebabkan oleh alergen, cara yang terbaik adalah mengelakkan punca alahan yang diketahui seperti habuk, bulu haiwan atau cuaca sejuk.  
 
Jika pesakit mengalami gejala seperti bersin dan gatal-gatal hidung, ubat daripada kumpulan antihistamin mungkin akan diberikan oleh doktor untuk mengurangkan gejala tersebut. Selain itu, terdapat juga ubat semburan hidung (nasal spray) yang boleh digunakan untuk melegakan masalah hidung tersumbat. Pesakit juga mungkin diberi ubat-ubatan lain yang sesuai bergantung kepada keseriusan dan keadaan pesakit selepas pemeriksaan oleh doktor. 

 

Mitos Berkaitan Dengan “Resdung”  
 
Amat popular dalam kalangan masyarakat bahawa resdung disebabkan oleh ulat yang hidup di dalam rongga hidung atau muka manusia. Terdapat juga kepercayaan bahawa rawatan asap dan produk-produk tertentu mampu mengeluarkan ulat tersebut. 
 
Kepercayaan ini telah memberi ruang kepada penjual produk yang ghairah untuk mengaut keuntungan untuk melariskan produk-produk jualan mereka termasuk produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). Didapati terdapat lambakan produk di luar sana yang dikatakan mampu merawat resdung. Pesakit yang terdesak pasti akan terdetik untuk mencuba rawatan-rawatan yang menjanjikan kesembuhan ini.   
 
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah merampas sejumlah produk yang dikatakan dapat merawat resdung. Apabila diuji kandungan produk-produk tersebut didapati mengandungi bahan terlarang seperti steroid. Penggunaan steroid tanpa pemantauan ahli profesional kesihatan boleh memberi kesan sampingan yang memudaratkan kepada kesihatan pengguna terutamanya apabila ia digunakan secara berterusan dalam jangka masa panjang. 
 
Masyarakat yang berilmu adalah masyarakat yang bijak dalam pemilihan ubat atau produk yang selamat dan berkualiti serta tidak menjejaskan kesihatan. Jika permintaan terhadap produk-produk ini berkurang, maka pengeluaran produk seperti ini juga akan menurun. 
 
Masyarakat dinasihati untuk menyemak status pendaftaran sesuatu produk sebelum membeli dengan melayari laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melalui pautan http://npra.moh.gov.my. Produk yang tidak berdaftar tidak dapat dijamin kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.   
 
 

Kesimpulan 
 
Pesakit yang mengalami gejala rinitis alergi atau sinusitis dinasihati untuk merujuk kepada pengamal perubatan atau pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Usah percaya kepada iklan-iklan yang menjanjikan kesembuhan atau meragukan dalam media sosial. Masyarakat dinasihati agar mendapatkan ubat daripada premis yang sah seperti farmasi komuniti. 
 
Untuk sebarang persoalan berkaitan ubat, sila hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman