Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

15 September 2019

Apakah itu beguk? Pernahkah anda melihat kejadian pesakit dengan pembengkakan pada pipi atau rahang sehingga merasa perit ketika menelan air liur? Keadaan ini mungkin disebabkan oleh penyakit beguk. Mumps atau beguk merupakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus dan ia boleh menyebabkan pembengkakan dan rasa sakit pada kelenjar air liur (salivary gland) yang terletak berhampiran dengan telinga.  
 
Penyakit ini boleh tersebar dengan mudah melalui titisan cecair pernafasan dan air liur. Amalan berkongsi peralatan makanan seperti sudu dan cawan serta barangan peribadi boleh meningkatkan lagi risiko untuk mendapat jangkitan ini. Selain itu, kekurangan penjagaan kebersihan yang baik seperti tidak mencuci tangan dengan betul juga dapat meningkatkan penyebaran virus Paramyxovirus ini.  
 
Kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertarikh 26 Oktober 2018 melaporkan bahawa sehingga 20 Oktober 2018, sebanyak 75 kluster beguk telah dilaporkan di seluruh Malaysia berbanding sebanyak 64 kluster bagi tempoh yang sama pada tahun 2017. Daripada jumlah 75 kluster dilaporkan tersebut, sebanyak 59 kluster (78.7%) berlaku di sekolah.  
 
Tidak dapat dinafikan bahawa hal ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa. Beguk boleh berjangkit kepada individu lain sebelum sebarang tanda dan gejala penyakit timbul. Keadaan ini telah menyebabkan kes perebakan jangkitan sukar dikesan terutamanya pada peringkat awal rebakan jangkitan. Faktor lain iaitu pergaulan antara murid-murid semasa berada di sekolah turut telah memudahkan jangkitan beguk tersebar.  


Gejala/Tanda  


Tanda dan gejala jangkitan beguk biasanya dapat dikesan 12-25 hari selepas pesakit dijangkiti. Terdapat juga sesetengah pesakit yang tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal jangkitan. Antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti: 

  • Bengkak dan rasa sakit pada satu atau kedua-dua belah pipi
  • Demam
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Keletihan
  • Hilang selera makan  

 
Dalam keadaan tertentu, sesetengah pesakit lelaki yang dijangkiti mungkin akan mengalami bengkak dan sakit pada bahagian kelamin. Pesakit yang mengalami gejala penyakit ini dinasihati untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut agar rawatan yang sesuai dapat diberikan.    

Komplikasi 
 
Meskipun kebanyakan individu yang dijangkiti beguk akan pulih sepenuhnya, namun pesakit masih boleh terdedah kepada risiko untuk mendapat komplikasi jika jangkitan virus tersebut merebak ke bahagian yang lain.  
 
Antara komplikasi beguk yang mungkin berlaku adalah seperti meningitis (keradangan pada lapisan selaput yang membaluti otak dan saraf tunjang), orkitis (keradangan pada testis), pankreatitis (keradangan pada pankreas) dan hilang pendengaran. 
 
Rawatan  
 

Tiada rawatan ubat antiviral yang khusus bagi menyembuhkan penyakit beguk. Namun, rawatan untuk melegakan gejala boleh diberikan kepada pesakit. Pesakit beguk juga dinasihati agar: 

  • Elakkan daripada pergi ke tempat-tempat awam agar penyakit ini tidak merebak.
  • Menggalakkan pengambilan air yang mencukupi.
  • Ubat demam seperti paracetamol boleh diberikan bagi mengurangkan suhu badan atau sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai gejala terbabit.
  • Elakkan makanan atau minuman berasid kerana ia boleh meningkatkan penghasilan air liur.
  • Makanan yang lembut boleh diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan kesukaran mengunyah.  
  • Rehat yang mencukupi. 

 
Pencegahan 
 
Vaksinasi merupakan kaedah yang berkesan untuk mencegah beguk. Vaksin MMR iaitu Measles (campak), Mumps (beguk) dan Rubela adalah vaksin kombinasi yang diberi dalam satu suntikan. Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan vaksinasi kerana ia biasanya tidak memberi kesan sampingan yang serius. Kebanyakan kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin ini tidak mengalami sebarang masalah. Sebilangan kecil sahaja mungkin mengalami demam atau sakit pada tempat suntikan.  
 
Kesimpulannya, penyakit beguk tidak boleh dipandang remeh meskipun jangkitan ini boleh sembuh selepas satu tempoh masa tertentu. Pesakit dinasihati untuk mendapatkan nasihat daripada doktor agar rawatan yang sesuai dapat diberikan. Vaksinasi merupakan salah satu langkah pencegahan daripada penyakit berjangkit ini. Pengambilan vaksin merupakan tanggungjawab semua individu, khususnya kepada golongan ibu bapa dan penjaga. Mencegah lebih baik daripada mengubati! 

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum). 
 
 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman