Alahan Dermatitis Sentuh

Penyakit

Title: Alahan Dermatitis Sentuh
Date: 
15 Feb 2017

Alahan Dermatitis Sentuh

Pengenalan

Alahan dermatitis sentuh adalah alahan pada kulit akibat bersentuhan dengan penyebab alahan (alergen). Ia adalah sejenis alahan kulit eksogen atau ekzema.  Biasanya kulit menjadi gatal dan mengalami tindak balas alahan akibat terdedah kepada alergen tertentu. Selain itu, kulit boleh menjadi kemerah-kemerahan, bengkak (edema) dan melepuh. Penyakit ini tidak berjangkit atau mengancam nyawa tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan dengan rasa gatal yang teruk.  Antara alergen termasuklah logam nikel, minyak wangi, alat solek/bahan kosmetik, pewarna rambut dan tumbuh-tumbuhan. Sesetengah alergen menyebabkan tindak balas apabila terdedah kepada cahaya matahari selepas diguna/dipakai. Ia dikenali sebagai alahan dermatitis sentuhan cahaya. Ia biasanya berpunca dari produk pelindung matahari yang mengandungi oxybenzone dan cinnamates.

Alahan dermatitis sentuh adalah berbeza daripada perengsa dermatitis sentuh, Perengsa dermatitis sentuh menpunyai tindak balas kulit yang serupa tetapi ia berlaku akibat hubungan yang berlebihan dengan perengsa sehingga boleh merosakkan kulit. Contoh perengsa termasuklah air, sabun, bahan pencuci, bahan pelarut, serta bahan yang berasid dan alkali. Perengsa dermatitis sentuh boleh memberi kesan kepada individu yang kerap terdedah dengan perengsa terutamanya individu yang mengalami kerosakan fungsi rintangan perlindungan kulit contohnya individu dengan ekzema atopik. Perengsa dermatitis sentuh adalah lebih umum daripada alahan dermatitis sentuh.

Tanda dan Gejala

Tanda dan gejala termasuk kulit gatal, radang, kemerah-merahan atau lebam merah, melepuh, berkerak, merekah dan berair. Secara klinikal, ekzema berlaku pada kawasan  alahan tetapi bagi kes yang teruk, ia boleh merebak ke bahagian tubuh  yang lain walaupun  bahagian tersebut  tidak mengalami alahan.

Di bawah adalah beberapa contoh alahan dermatitis sentuh:

Ekzema di cuping telinga akibat alahan dermatitis sentuh dengan anting-anting yang mengandungi nikel.
Ekzema leher akibat alahan dermatitis sentuh terhadap minyak wangi.
Mata gatal dan merah akibat alahan dermatitis sentuh dengan kloramfenikol yang terdapat dalam ubat mata.

Komplikasi

  • Keradangan kulit boleh menyebabkan jangkitan kulit akibat bakteria dan kulat .
  • Menggaru secara berterusan menyebabkan kulit menjadi tebal, keras dan pigmentasi kulit. Ini dikenali sebagai neurodermatitis atau liken simpleks kronik.

 

Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini