Perlu Patuh Rawatan TIBI

Date: 
Sun, 20/03/2016 - 14:01
Always on top setting
Always on top: 
Yes
Sequence for “Always on top”: 
1

Perlu Patuh Kepada Rawatan Tibi

Penyakit Tuberkulosis atau dikenali sebagai tibi atau batuk kering merupakan sejenis penyakit berjangkit yang paling awal direkodkan dalam sejarah yang disebabkan oleh bakteria Mycobactarium Tuberculosis yang disebarkan melalui udara. Saintis telah mengesan kewujudan bakteria yang menyebabkan penyakit ini pada fosil mumia Mesir sekitar 460 tahun sebelum Masihi. 

Di Malaysia, penyakit tersebut telah banyak meragut nyawa sekitar tahun 1945 hingga 1957. Hal ini adalah kerana pada ketika itu, tiada rawatan yang berkesan untuk merawat penyakit ini. Nasib pesakit tibi pada waktu tersebut amat malang kerana dikuarantin dan hanya diberikan makanan yang berkhasiat untuk menguatkan tubuh. 

Setelah rawatan yang sesuai ditemui, kerajaan menjalankan Program Kebangsaan Pencegahan Penyakit Tibi bertujuan menurunkan jumlah pesakit yang dijangkiti tibi. Hasilnya, program ini berjaya menurunkan bilangan kes penyakit tibi sehingga pada kadar yang amat memberangsangkan.

Walau bagaimanapun, jangkitan penyakit tibi telah kembali menular dan meningkat semula sejak tahun 1995 sehingga kini. Mengikut statistik, jumlah kes tibi yang dilaporkan adalah sebanyak 24,711 kes pada tahun 2014. Daripada jumlah tersebut, 1,603 kes berakhir dengan kematian.

Situasi ini amat membimbangkan dan boleh menjadi ancaman kepada kesihatan masyarakat. Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah proaktif bagi mengelakkan situasi ini bertambah teruk. Kempen-kempen kesedaran dan promosi kesihatan berkaitan penyakit tibi telah dijalankan di seluruh Malaysia. 

Namun begitu, untuk mengawal penularan penyakit ini, pesakit tibi sendiri perlu memainkan peranan yang sangat penting. Pesakit tibi perlu patuh kepada rawatan yang telah diberikan. Walaupun jangkamasa rawatan peyakit ini mengambil masa yang lama, kepatuhan terhadap pengambilan ubat akan memberikan kesan yang baik bukan sahaja kepada pesakit malah kepada masyarakat umum juga. 

Bagi meningkatkan kepatuhan ubat, penting untuk ahli kesihatan terutamanya ahli farmasi untuk memberikan maklumat yang betul dan tepat kepada pesakit. Pesakit perlu faham jenis-jenis ubat yang diberikan dan juga fungsi ubat-ubatan tersebut. Kefahaman yang tinggi terhadap rawatan ubat-ubatan akan mempengaruhi tahap kepatuhan pesakit kepada rawatan yang diberikan. 

Pesakit perlu berkomunikasi secara aktif dengan ahli farmasi agar penerangan terhadap rawatan dapat difahami dengan jelas. Jenis-jenis ubat yang diberikan kebiasannya dalam bentuk gabungan lebih daripada satu jenis ubat. Justeru, pesakit perlu mengetahui apakah yang bakal mereka alami setelah mengambil ubat-ubatan untuk rawatan tibi ini. Antara ubat yang biasa diberikan adalah Ethambutol, Pyrazinamid, Isoniazid dan Rifampicin sebagai rawatan intensif. Bagi rawatan senggaraan pula, ubat-ubatan seperti Isoniazid dan Rifampicin akan diberikan. 

Antara kesan sampingan biasa bagi setiap jenis ubat adalah seperti berikut:
• Isoniazid – Boleh menyebabkan rasa letih dan mual. Ia juga boleh menyebabkan rasa kebas-kebas pada tangan dan kaki. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh dirawat dengan ubat Pyridoxine. 
• Rifampicin – Boleh bertindak balas dengan pelbagai jenis ubat-ubatan lain. Ia juga boleh menyebabkan air liur, air kencing dan peluh bertukar menjadi warna oren atau merah. Walau bagaimanpun keadaan ini adalah normal dan tidak berbahaya.
• Ethambutol – Boleh menyebabkan gangguan pada penglihatan. Sekiranya kesan ini dialami, beritahu kepada doktor atau ahli farmasi secepat mungkin.
• Pyrazinamide – Boleh menyebabkan rasa letih dan mual. Selain daripada itu, ia juga berisiko menyebabkan ruam dan sakit sendi.

Bagi meningkatkan tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatan ubat-ubatan tibi, kaedah pemantauan langsung atau DOT (Direct observation therapy) diamalkan pada peringkat awal rawatan. Pengambilan ubat tibi akan dipantau secara harian bagi memastikan pesakit tidak culas dengan rawatan ubat tibi. Kaedah ini telah terbukti dapat meningkatkan keberkesanan rawatan dalam usaha menghapuskan jangkitan tibi. 

Ketidakpatuhan terhadap rawatan tibi akan menjejaskan pesakit dan menyebabkan masalah kerintangan ubat tibi berlaku. Sekiranya kuman tibi tidak dihapuskan sepenuhnya, risiko untuk penyakit tersebut menjadi lebih teruk adalah sangat tinggi. Akibatnya mereka perlu menukar rawatan kepada ubat yang lain bagi mengatasi masalah ini. 

Kuman tibi boleh menyerang organ-organ badan yang lain. Kuman tibi juga boleh merebak dan menyebabkan jangkitan kepada ahli keluarga, individu berdekatan dan orang awam. Oleh itu, mematuhi rawatan ubat tibi merupakan satu cara yang sangat penting bagi mengelakkan orang yang disayangi dijangkiti dengan penyakit tibi. 

Mencegah penularan jangkitan tibi merupakan tanggungjawab bersama diantara pesakit dan juga ahli professional kesihatan yang lain. Ketidakpatuhan kepada rawatan bakal menyebabkan kuman generasi baru yang rintang kepada ubat-ubatan sedia ada bakal berlaku. 

Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat mengenai perkara ini dan akan sentiasa memantau dan memberikan tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan rawatan terhadap penyakit tibi. Sekiranya terdapat pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800 88 6722 untuk bertanya kepada ahli farmasi yang bertugas. 

Disediakan Oleh
Fahmi Bin Hassan
Ketua Penolong Pengarah 
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM

AttachmentSize
rawatan tibi.png806.61 KB