Langkau ke kandungan utama


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

11 Julai 2019

KERACUNAN UBAT, APAKAH YANG PERLU DIBUAT?

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara, sepanjang tahun 2006 hingga 2015 terdapat sebanyak 14,081 panggilan yang diterima melibatkan kes keracunan produk farmaseutikal. Keracunan ubat boleh berlaku di mana-mana tempat atau pada bila-bila masa dan ia boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.   Walau bagaimanapun, kesannya adalah berbeza bergantung kepada jenis ubat dan cara pengambilan ubat tersebut. Keracunan ubat berpotensi untuk berlaku apabila pengambilan ubat melebihi had yang telah ditetapkan oleh doktor atau menyalahi cara pengambilan ubat tersebut.  
 

Penyebab Keracunan Ubat

Keracunan ubat boleh berlaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Dalam situasi tidak sengaja, pesakit mungkin secara tidak sengaja mengambil dos ubat berlebihan akibat tergesa-gesa, tidak berhati-hati semasa mengambil ubat atau mengambil ubat di tempat yang gelap. Insiden keracunan ubat juga boleh berlaku apabila terdapat segelintir pesakit yang sengaja menggandakan dos ubat tanpa arahan daripada doktor atau ahli farmasi. Pesakit yang mempunyai banyak masalah kesihatan dan perlu mengambil pelbagai jenis ubat, pesakit warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah hati atau buah pinggang berpotensi untuk mengalami keracunan ubat jika ubat tidak diambil mengikut arahan seperti yang diberikan oleh ahli profesional kesihatan.   Selain itu, keracunan ubat juga mungkin berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka cenderung untuk memasukkan sebarang objek ke dalam mulut mereka. Ada juga kanak-kanak yang termakan ubat dewasa apabila mereka menganggap ubat itu adalah seperti gula-gula.

Gejala/ Tanda Keracunan Ubat

Gejala keracunan ubat bergantung kepada jenis ubat, jumlah yang diambil dan usia mangsa. Ada keracunan yang gejalanya timbul serta-merta manakala ada pula yang mengambil tempoh beberapa jam atau hari sebelum menunjukkan tanda. Berikut adalah contoh tanda dan gejala keracunan ubat yang lazim berlaku:  

  • Sakit perut
  • Muntah-muntah
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Kekeliruan
  • Kegelisahan
  • Mengantuk yang berlebihan
  • Tangan atau badan menggigil
  • Denyutan nadi yang lebih laju atau perlahan daripada biasa 

 
Rawatan Keracunan Ubat

Jika mengesyaki keracunan ubat terjadi, tenangkan fikiran dan jangan panik. Cuba dapatkan apa-apa pembungkusan, bekas ubat atau label ubat untuk mengenal pasti ubat-ubatan yang terlibat. Hubungi talian kecemasan ‘999’ atau Pusat Racun Negara atau segera ke pusat rawatan kecemasan yang terdekat. Jangan cuba untuk merawat 
sendiri tanpa arahan atau nasihat daripada doktor kerana ada sesetengah keracunan ubat memerlukan penawar yang spesifik.  

Jika mangsa berada dalam keadaan sedar, minta mangsa untuk meludah keluar saki baki ubat yang berada di dalam mulut. Jangan sesekali memaksa mangsa muntah melainkan ia berlaku secara semula jadi bagi mengelakkan komplikasi yang lain daripada berlaku. Sementara menunggu bantuan tiba, dapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh. Teruskan meneliti status pernafasan, denyutan nadi dan tahap respon mangsa.  

Tip Pencegahan Keracunan Ubat
 

  • Kebanyakan kes keracunan ubat boleh dicegah sekiranya pesakit mengambil dan menyimpan ubat-ubatan mengikut nasihat yang diberikan. Berikut adalah tip untuk mengelakkan keracunan ubat.   Pastikan ubat-ubatan disimpan jauh daripada kanak-kanak.
     
  • Elakkan memanggil ubat-ubatan dengan gelaran “gula-gula” semasa berkomunikasi dengan kanak-kanak. 
     
  • Baca dan fahami label ubat setiap kali sebelum mengambilnya untuk memastikan ubat diambil oleh pesakit yang betul pada dos, cara dan masa yang betul.  
     
  • Elakkan berkongsi ubat-ubatan anda dengan orang lain.
     
  • Ikut arahan pengambilan ubat seperti yang ditetapkan, jangan gandakan dos tanpa arahan daripada doktor atau ahli farmasi.
     
  • Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya kurang pasti berkaitan indikasi dan cara pengambilan ubat-ubatan.  
     
  • Ambil ubat di tempat yang terang atau pasangkan lampu semasa memberi atau mengambil ubat.  
     
  • Bagi mengelakkan kekeliruan semasa pengambilan ubat, simpan ubat di dalam bekas asal atau sampul ubat asal kerana arahan pengambilan ubat ada pada label ubat.  
     
  • Elakkan mengambil ubat daripada bekas ubat yang tidak mempunyai sebarang label atau dengan label yang tidak jelas.  
     
  • Simpan kertas sisipan ubat yang terdapat di dalam kotak ubat dan mengetahui serba sedikit berkaitan ubat tersebut terutamanya kesan-kesan sampingan.  
     
  • Biasakan diri untuk menyemak tarikh luput dari semasa ke semasa. Jangan guna ubat yang telah melepasi tarikh luput.  


Pesakit dinasihatkan untuk rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya memerlukan informasi tambahan berkaitan ubat-ubatan. Jika tip ini mampu diikuti, maka keracunan ubat yang memudaratkan kesihatan dapat dielakkan.  Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call CentreNPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum. 

 

 

 

ARTIKEL

         

SERTAI KAMI  

PERSOALAN BERKENAAN UBAT

MAKLUMAT UBAT & ISU KESIHATAN

PROGRAM KAMI  

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Muat turun video Instagram Muat turun video

PENAFIAN: Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan bertanggungjawab
ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada portal ini.

Hakcipta Terpelihara © 2008 - 2022 - Kenali Ubat Anda


Login Pentadbiran - Peta Laman