Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

9 May 2021

Isu lebihan ubat-ubatan di rumah bukanlah sesuatu perkara yang asing. Kadangkala terdapat pesakit yang menolak untuk menerima bekalan ubat-ubatan kerana masih mempunyai baki ubat di rumah. Pesakit juga keliru akan tindakan yang perlu diambil apabila terdapat lebihan ubat-ubatan.

 

Beberapa perkara telah dikenal pasti menjadi faktor berlakunya lebihan ubat di rumah, antaranya:

1. ubat tidak diambil seperti yang telah diarahkan, sama ada kerana terlupa atau sengaja,

2. rawatan dihentikan sendiri apabila berasa sudah sihat,

3. bekalan ubat tambahan diperoleh daripada klinik atau premis farmasi komuniti semasa bercuti atau bekerja di luar kawasan,

4. bekalan ubat susulan masih diambil daripada farmasi walaupun tidak dimakan kerana mengalami kesan sampingan

5. pertindihan beberapa preskripsi daripada fasiliti kesihatan berbeza bagi ubat yang sama.

 

Inisiatif Patients’ Own Medicines (POMs)

 

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meminimumkan pembaziran ubat yang telah dibekalkan kepada pesakit.  Antara langkah tersebut termasuklah dengan memperkenalkan program Patients’ Own Medicines (POMs).

 

Program POMs dijalankan untuk menggalakkan pesakit membawa ubat-ubatan penyakit kronik apabila menjalani rawatan di dalam wad. Ubat-ubat yang perlu dibawa bersama-sama ialah ubat yang dibekalkan di fasiliti kesihatan kerajaan atau yang dibeli sendiri. Walau bagaimanapun, POMs tidak merangkumi sediaan tradisional dan produk suplemen kesihatan kerana kesukaran untuk mengenal pasti kandungan serta indikasinya.

 

Sepanjang berada di dalam wad, ubat-ubat yang diteruskan oleh doktor untuk pesakit akan dibekalkan daripada POMs. Bekalan ubat hanya akan ditambah oleh petugas di farmasi selepas semua POMs habis diberikan kepada pesakit. Penggunaan ubat sepanjang tempoh rawatan pesakit di dalam wad menjadi lebih optimum dan ubat digunakan dalam kuantiti yang secukupnya sahaja.

 

POMs yang dibawa ke wad juga dapat membantu doktor atau pegawai farmasi memahami sejarah pengubatan pesakit dengan lebih tepat. Maklumat ini membolehkan doktor merancang pelan rawatan yang lebih sesuai dengan tahap kesihatan semasa pesakit.

 

Apabila dibenarkan discaj daripada wad, POMs yang sama dibekalkan kepada pesakit. Kuantiti ubat akan ditambah secukupnya sehingga tarikh janji temu doktor yang akan datang. Pesakit tidak akan membawa pulang ubat dalam kuantiti yang berlebihan.

 

 

Mengoptimumkan Pembekalan Ubat di Farmasi Pesakit Luar

 

Sebelum datang ke kaunter farmasi, pesakit disarankan memeriksa keadaan dan mengira baki ubat yang ada di rumah. Apabila tiba di kaunter, pesakit digalakkan untuk memberitahu petugas di kaunter sebarang ubat yang perlu ditambah kuantitinya. Ubat yang hampir habis sahaja yang akan dibekalkan oleh farmasi bagi mengelakkan pesakit menyimpan ubat dalam kuantiti berlebihan.

 

Nasihat untuk Pesakit

 

Pesakit dinasihatkan untuk sentiasa patuh pada rawatan dan mengambil ubat-ubatan mengikut dos dan arahan yang diberikan oleh doktor atau pegawai farmasi. Pegawai farmasi boleh membantu meningkatkan kepatuhan pesakit melalui sesi kaunseling ubat-ubatan secara berterusan.

 

Di sesetengah fasiliti kesihatan kerajaan, pegawai farmasi turut menjalankan perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) sebagai cara meningkatkan tahap kepatuhan pesakit terhadap ubat-ubatan.

 

Pesakit perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi bagi mendapatkan cara paling sesuai menangani sebarang kesan sampingan yang menganggu kesihatan atau jadual harian. Pesakit tidak seharusnya mengurangkan dos atau berhenti mengambil ubat tanpa kebenaran daripada doktor yang merawat.

 

Bekalan ubat hendaklah sentiasa dipastikan mencukupi apabila pesakit pergi bercuti atau bekerja di luar kawasan. Sekiranya perlu, beli ubat dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.

 

Penggunaan Ubat secara Optimum Tanggungjawab Semua Pihak

 

Kesimpulannya, semua pihak, sama ada petugas kesihatan, pesakit atau ahli keluarga perlu memainkan peranan untuk menggunakan ubat-ubatan secara optimum. Penggunaan ubat secara berkualiti dapat menjamin kualiti rawatan yang lebih efektif dan pada kos yang berpatutan.  

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat ke Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) di talian 1800-88-6722, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).

 

Disediakan oleh:                                                                                                                                                  Faizatul Iman binti Makpol                                                                                                                                  Pegawai Farmasi                                                                                                                                                Hospital Kuala Lumpur

 

 

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap