Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

3 January 2021

Menurut Pakar Mata, Jabatan Oftalmologi Hospital Kuala Lumpur, glaukoma adalah sejenis penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Kerosakan secara progresif mampu mengakibatkan kehilangan penglihatan yang kekal sekiranya tidak menerima rawatan yang sepatutnya. Lazimnya, penyakit ini mempunyai kaitan dengan tekanan dalam bebola mata yang tinggi. Namun, terdapat juga individu dengan tekanan dalam bebola mata yang normal menghidap glaukoma.

Di Malaysia, glaukoma merupakan penyebab kebutaan yang ketiga (7%) iaitu selepas katarak (58%) dan diabetes (10%) berdasarkan National Eye Survey 2014 dan penyebab buta kedua peringkat global seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Glaukoma akan mengurangkan medan penglihatan mata pesakit dan seterusnya mengakibatkan kebutaan yang tidak dapat dipulihkan (kebutaan kekal).

Rawatan dan ubat-ubatan yang sesuai dan berkesan adalah penting bagi mengelakkan berlakunya komplikasi yang serius ini berlaku.

Rawatan

Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Glaukoma menyatakan, rawatan utama glaukoma adalah melalui penggunaan ubat titis mata selain daripada rawatan laser dan pembedahan. Kebiasaannya, penggunaan ubat titis mata pada pesakit glaukoma bertujuan untuk merendahkan tekanan dalam bebola mata dan melambatkan kerosakan kepada saraf optik. Namun, ia tidak membantu memulihkan penglihatan pesakit yang telah hilang.

Rawatan glaukoma yang berkesan amat bergantung kepada pemilihan ubat titis mata yang sesuai, cara penggunaan yang betul dan kepatuhan pesakit terhadap ubat.

Pemilihan ubat titis mata bergantung kepada keadaan pesakit dan kesan sampingan ubat. Ianya dibahagikan kepada lima jenis utama berdasarkan bahan aktif iaitu, prostaglandin analogs, beta-blockers, alpha agonists, carbonic anhydrase inhibitors dan rho kinase inhibitors. Malah, terdapat juga ubat kombinasi dalam pasaran bagi pesakit-pesakit yang memerlukan lebih dari satu jenis ubat untuk rawatan glaukoma.

Cara penggunaan ubat titis mata yang betul sangat penting dalam rawatan pesakit glaukoma. Cara yang betul akan membantu meningkatkan penyerapan ubat ke dalam mata supaya mendapat kesan yang optimum. Tiga langkah utama seperti di bawah boleh memastikan penggunaan ubat titis mata yang lebih berkesan dalam rawatan glaukoma, selepas ubat dititiskan ke dalam mata:

i. Pejam mata selama 1-3 minit tanpa memejam dengan kuat atau mengerlipkan mata untuk mengelakkan ubat mengalir keluar.

ii. Tekan sudut di antara mata dan hidung untuk mengekalkan sebanyak mungkin ubat titis pada permukaan mata.

iii. Selang masa sekurang-kurangnya 5 minit sekiranya perlu menitiskan lebih daripada setitis ubat atau perlu menggunakan ubat titis mata yang berbeza pada mata yang sama.

Kurang kefahaman terhadap penyakit dan rawatan akan menyebabkan ketidakpatuhan kepada pengambilan ubat. Pesakit sentiasa digalakkan untuk mendapatkan kaunseling daripada doktor atau ahli farmasi berkenaan dengan rawatan yang diterima dan cara pengambilan ubat yang betul. Pesakit glaukoma perlu memahami cara penggunaan ubat titis mata yang betul untuk mengurangkan rasa ketidakselesaan mata seperti kabur penglihatan, pedih mata atau kemerahan mata yang mungkin dialami selepas penggunaan ubat titis mata. Kepatuhan kepada pengambilan ubat adalah amat penting untuk penyakit glaukoma yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

Pencegahan

Berdasarkan artikel di portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pesakit harus memahami bahawa kerosakan pada saraf optik akibat penyakit glaukoma tidak dapat disembuhkan dengan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, sekiranya rawatan tidak diberikan seawal mungkin, kerosakan tersebut akan berterusan. Justeru, kepatuhan kepada ubat titis mata dan pemeriksaan mata secara berkala adalah amat penting dalam mengawal penyakit glaukoma dan mengelakkan kebutaan mata yang kekal.

Sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit glaukoma, pengesanan awal melalui pemeriksaan mata yang komprehensif adalah amat penting untuk mengesan glaukoma dalam kalangan ahli keluarga yang lain.

Selain itu, penggunaan sesetengah jenis ubat titis mata yang mengandungi steroid berisiko mengakibatkan peningkatan tekanan dalam bebola mata dan boleh menyebabkan glaukoma sekiranya tidak dipantau. Pesakit dinasihatkan supaya hanya menggunakan ubat titis mata steroid dengan arahan dan pemantauan pakar yang merawat.

Kesimpulan

Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi untuk sebarang kemusykilan sebelum memulakan rawatan. Jangan kerana ambil mudah, mata menerima padah!

Pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum), sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan.

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap