Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

5 May 2019

Apa Itu Vaksin? 
 
Vaksin dapat melindungi manusia daripada penyakit berjangkit yang berbahaya atau yang boleh membawa maut. Tidak seperti ubat biasa yang digunakan untuk merawat penyakit, vaksin digunakan untuk mencegah penyakit.  
 
Secara umumnya, vaksin merupakan sediaan biologi yang dihasilkan daripada strain virus atau bakteria tertentu yang diketahui dapat menyebabkan penyakit berjangkit atau berbahaya. Ia diperoleh daripada sama ada sebahagian atau seluruh komponen mikroorganisma yang telah dilemahkan atau dibunuh.  
 
Antigen dalam vaksin berfungsi merangsang sistem imun tubuh supaya menghasilkan antibodi khusus untuk melawan penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma tertentu. Antibodi yang terhasil dapat mencegah jangkitan bakteria atau virus yang serupa dan seterusnya penyakit berjangkit yang berbahaya dapat dihindarkan. 
 
Penyakit berjangkit merupakan salah satu penyebab berlakunya kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, imunisasi adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit ini. 
 
Antara contoh penyakit-penyakit yang dapat dicegah dengan penggunaan vaksin adalah:  

  • Difteria  
  • Tetanus (kancing gigi)
  • Pertusis (batuk kokol)
  • Polio  
  • Measles (campak)
  • Mumps (beguk)
  • Rubela  
  • Hepatitis B (sejenis penyakit radang hati)
  • Influenza  
  • Jangkitan pneumococcal  

 
Imuniti Kelompok 
 
Melalui program imunisasi yang menyeluruh dalam sesuatu komuniti, penyebaran penyakit berjangkit yang berbahaya dapat dicegah. Imuniti kelompok atau herd immunity merupakan keadaan yang mana sesuatu agen jangkitan gagal memasuki atau disebarkan dalam kalangan suatu populasi kerana sebahagian besar daripada anggota dalam populasi itu mempunyai imuniti dan terlindung daripada bakteria atau virus yang menjadi penyebab kepada sesuatu penyakit berjangkit.  
 
Maka, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, malah turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara. Melalui pencegahan penyakit berjangkit secara berkesan, kekerapan kemasukan pesakit ke hospital juga dapat dikurangkan dan seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit.   
 
Bagaimanapun, imuniti kelompok hanya berfungsi sekiranya kebanyakan individu dalam populasi telah diberi imunisasi. Kebelakangan ini, terdapat sebilangan individu yang menolak vaksinasi kerana terpengaruh dengan sebaran informasi yang 
mengelirukan dan tidak sahih melalui pelbagai saluran media sosial. Rantaian imuniti kelompok yang semakin lemah dan terganggu dapat menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit dengan lebih mudah. Perkara ini amat membimbangkan apabila ia melibatkan penularan penyakit yang serius terutamanya dalam kalangan kanakkanak.    Kesan Sampingan Vaksin 
 
Kebimbangan terhadap kesan sampingan selepas imunisasi atau Adverse Effects Following Immunization (AEFI) merupakan salah satu faktor peningkatan golongan yang menolak vaksinasi. Lazimnya, vaksin dapat menyebabkan kesan sampingan seperti kesakitan dan kemerahan pada tapak suntikan atau demam. Namun kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dalam masa yang singkat.  
 
Perlu ditekankan bahawa, bukan semua individu yang menerima suntikan vaksin akan mengalami kesan sampingan. Sekiranya kesan sampingan yang dialami adalah serius dan berpanjangan, ibu bapa perlu merujuk anak mereka kepada doktor untuk rawatan selanjutnya. 
 
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan. Kakitangan kesihatan dari fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, syarikat vaksin dan orang awam boleh melaporkan sebarang AEFI yang dialami kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM. Laporan tersebut dapat membantu mengkaji tahap keselamatan penggunaan vaksin di Malaysia.  
 
Program Imunisasi Kebangsaan 
 
Sesungguhnya mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Di Malaysia, Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 1950-an oleh KKM. Program suntikan vaksin ini diberikan secara berjadual dan percuma kepada bayi dan kanakkanak untuk melindungi mereka daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit.  
 
Vaksinasi merupakan salah satu langkah pencegahan daripada penyakit berjangkit. Pengambilan vaksin merupakan tanggungjawab semua individu, khususnya kepada golongan ibu bapa dan penjaga kerana tahap imuniti golongan kanak-kanak masih dalam proses pembinaan. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga dinasihati agar memberi kebenaran untuk suntikan vaksin seperti yang telah dijadualkan oleh pihak KKM dalam Program Imunisasi Kebangsaan kepada anak-anak mereka.   
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan vaksin atau ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap