Skip to main content


 

PERSOALAN BERKENAAN UBAT?

 

Talian bebas tol:
1800 – 88 – 6722

Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC)
 

Waktu operasi: 8 pagi – 5 petang
(Isnin – Jumaat, kecuali Cuti Umum)

 

Laman web:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia


 

DRUG INFORMATION ENQUIRIES?

 

Toll free line:
1800 – 88 – 6722


National Pharmacy Call Centre (NPCC)

 

Operating hours: 8 am – 5 pm
(Monday – Friday except Public Holiday)

 

Website:
Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia

 

4 August 2019

EPILEPSI DAN UBAT-UBATAN  
 
Sawan adalah satu bentuk gangguan saraf yang berlaku disebabkan oleh pengeluaran isyarat yang luar biasa atau tidak terkawal pada bahagian otak dan mengganggu aktiviti sistem saraf yang normal. Perubahan corak aktiviti ini boleh menyebabkan penghidapnya tidak dapat mengawal pergerakan badan secara tiba-tiba dan keadaan ini membawa kepada kejadian seperti kejang saraf otot dan pengsan.  
 
Epilepsi adalah gabungan lebih daripada satu episod sawan dan pesakit kebiasaannya akan mendapat serangan susulan pada selang masa tertentu bergantung kepada keadaan pesakit dan jenis sawan.  
 
Epilepsi terbahagi kepada beberapa jenis. Gejala dan tanda klinikal epilepsi adalah bergantung kepada lokasi pada bahagian otak yang terjejas dan tahap pengunjurannya serta corak penyebarannya di dalam otak. Namun, epilepsi dapat dikawal dengan ubatubatan antiepilepsi.  
 
Komplikasi 
 
Serangan epilepsi mungkin menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala atau anggota badan apabila pesakit terjatuh atau terhentak pada objek akibat daripada pergerakan anggota tubuh yang berlaku di luar kawalan. Kecederaan yang berlaku adalah bergantung kepada bagaimana pesakit epilepsi itu jatuh ketika serangan epilepsi. 
 
Selain itu, satu keadaan yang dikenali sebagai status epilepticus adalah serangan sawan secara berulang-ulang yang menyebabkan pesakit tidak kembali sedar antara serangan. Keadaan ini memerlukan bantuan kecemasan segera daripada pengamal perubatan kerana ia amat berbahaya dan boleh mengancam nyawa.  
 
Jenis Ubat-ubatan Dalam Rawatan Epilepsi 
 
Diagnosis yang tepat adalah penting bagi memastikan keberkesanan rawatan dalam pengawalan epilepsi supaya pesakit dapat menjalani kehidupan secara normal. Pemilihan jenis ubat yang akan digunakan sebagai rawatan ditentukan oleh doktor mengikut jenis sawan dan gejala yang dialami oleh pesakit. Antara contoh ubat-ubatan antiepilepsi yang biasa digunakan adalah carbamazepine, phenytoin, sodium valproate, lamotrigine dan sebagainya. 
 
Kepatuhan pesakit dalam pengambilan ubat antiepilepsi adalah penting untuk mengawal serangan epilepsi. Sekiranya keadaan epilepsi ini terkawal, pelbagai komplikasi yang tidak diingini dapat dielakkan. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit untuk mengambil ubat antiepilepsi mengikut arahan doktor dan ahli farmasi. Segera maklumkan kepada doktor sekiranya pesakit mengalami kesan sampingan agar rawatan yang sesuai dapat diberikan kepada pesakit.   

Kebanyakan ubat antiepilepsi mempunyai julat terapeutik yang sempit (narrow therapeutic index). Paras ubat yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan kesan sampingan, manakala paras ubat yang rendah pula boleh menyebabkan kegagalan rawatan. Oleh itu, paras ubat dalam darah haruslah sentiasa dipantau supaya ia berada dalam julat normal dan efektif.  
 
Masa pengambilan darah untuk tujuan pemantauan ini adalah spesifik agar keputusan ujian adalah tepat. Selain itu, pengujian paras ubat dalam darah juga bertujuan untuk memantau tahap kepatuhan pesakit terhadap rawatan yang diberi.  
 
Pesakit dinasihati supaya maklumkan kepada doktor yang merawat sekiranya ada mengambil ubat tradisional, suplemen atau ubat-ubatan lain. Ini kerana sesetengah ubat mungkin boleh berinteraksi dengan ubat antiepilepsi yang sedang diambil. Terdapat ubat yang dapat mengurangkan atau meningkatkan paras ubat antiepilepsi di dalam darah sekaligus mempengaruhi keberkesanan ubat antiepilepsi tersebut.  
 
Ubat antiepilepsi hanya boleh diberikan atas arahan doktor yang merawat. Elakkan merawat epilepsi secara sendiri dengan membeli ubat antiepilepsi ini di luar atau secara dalam talian tanpa pengawasan dan pemantauan doktor. 
 
Nasihat Kepada Pesakit 
 
Pesakit epilepsi dinasihati agar sentiasa membawa ubat bersama-sama semasa pulang ke kampung, bercuti atau semasa perjalanan jauh. Ubat ini perlu disimpan di tempat yang kering, jauh daripada cahaya dan haba serta jauh daripada capaian kanak-kanak. 
 
Kesimpulan 
 
Dapatkan rawatan awal daripada ahli profesional kesihatan agar kualiti hidup pesakit epilepsi dapat ditingkatkan. Kepatuhan terhadap pengambilan ubat-ubatan antiepilepsi dan menghadiri sesi janji temu dengan doktor adalah penting dalam kawalan epilepsi. Ramai penghidap epilepsi menjalani kehidupan yang normal dengan rawatan yang diberikan.  
 
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call CentreNPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

 

 

JOIN US

QUESTION ON MEDICINES

MEDICINES & HEALTH ISSUES

OUR PROGRAMMES 

CONTACT US

PHARMACEUTICAL SERVICES PROGRAMME
LOT 36, JALAN PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ, 46200,
PETALING JAYA, SELANGOR

NATIONAL PHARMACY CALL CENTRE (NPCC)

Download Instagram video Instagram Downloader

Disclaimer : Pharmaceutical Services Programme, Ministry of Health Malaysia shall not
be liable for any loss or damage resulting from the use of information in this portal.

Copyright © 2008 - 2019 Know Your Medicine. All Rights Reserved


Administrative Login - Sitemap